Iko Uwais intai peluang di Malaysia - Utusan Malaysia

Iko Uwais intai peluang di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Iko Uwais, 42, sedia menerima sebarang tawaran untuk bekerjasama dengan mana-mana syarikat produksi di Malaysia.

Malah anak jati Jakarta Indonesia itu berkata, beliau sedia memperuntukkan masa jika berpeluang berlakon di negara ini.

“Saya sedia mengosongkan jadual jika berpeluang berlakon di Malaysia. Kita serumpun dan kaya budaya,” katanya.

Iko berkata demikian pada sidang media selepas tayangan filem Timur di GSC Mid Valley, baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, Iko atau nama sebenarnya Uwais Qorny juga mengalu-alukan sebarang tawaran untuk berlakon dengan pelakon Malaysia.

“Pintu itu saya buka seluas-luasnya,” katanya lagi.

Mengulas tentang Timur, pelakon aksi terkenal ini bersyukur kerana filem itu berjaya disiapkan.

“Kami berhadapan banyak cabaran untuk menyiapkap filem ini, antaranya cuaca yang tidak menentu ketika melakukan penggambaran di kawasan hutan sekitar gunung Tangkuban Perahu.

“Tapi saya bersyukur kerana pihak pemerintah tempatan memberi keizinan dan memberi sokongan penuh untuk kami melakukan penggambaran di kawasan yang juga merupakan tempat latihan komando,” kongsinya.

Timur mengangkat kisah persaudaraan, pengorbanan dan konflik dalaman. 

Filem ini berkisar tentang pertemuan semula dua beradik dalam misi menyelamat sekumpulan pengkaji yang menjadi tawanan kumpulan pelampau.

Filem lakonan dan arahan Iko itu menjengah pawagam seluruh negara bermula Januari tahun depan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN