PETALING JAYA: Pelakon, Hun Haqeem, teruja apabila filem lakonannya, Soloz: Game of Life, mula ditayangkan di pawagam seluruh Thailand bermula hari ini.
Menurut Hun atau Haqeem Hermy, 27, kejayaan itu diharapkan mampu membuka lebih banyak ruang untuk filem tempatan menembusi pasaran luar, khususnya negara jiran tersebut.
“Rasa sangat menakjubkan apabila Soloz kini ditayangkan di panggung wayang Thailand.
“Saya bangga dapat melihat karya kita berada di sana dan semoga lebih banyak peluang akan menyusul selepas ini.
“Kepada yang belum menonton, kalau filem ini ditayangkan semula di Malaysia nanti, jangan lupa pergi menyokong.
“Ia sebuah karya yang cukup memberi inspirasi dan saya bangga menjadi sebahagian daripadanya,” katanya menerusi Instagram Story.
Filem Soloz: Game of Life mengangkat kisah kehidupan ikon e-sukan tanah air, Muhammad Faris Zakaria, atau lebih dikenali sebagai Soloz, yang mencipta nama dalam arena Mobile Legends: Bang Bang.
Penerbitnya, Rahila Ali, berkata filem arahan Syafiq Yusof itu akan ditayangkan di lebih 80 pawagam di Thailand bermula 4 Disember.
“Alhamdulillah, saya sendiri tidak pernah membayangkan filem ini mampu melangkah sejauh itu.
“Ini satu pengiktirafan besar kepada Key Billions Sdn. Bhd. dan seluruh pasukan produksi yang bekerja keras sepanjang pembikinan.
“Kejayaan ini cukup bermakna kerana filem Malaysia jarang menembusi pasaran Thailand. Ia sesuatu yang tidak dijangka tetapi amat membanggakan,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurut Rahila, kekuatan naratif, visual dan emosi dalam filem berkenaan memberi keyakinan kepada mereka untuk mencuba pasaran di negara tersebut.
“Prosesnya memang mencabar kerana pasaran Thailand sangat kompetitif dan mereka amat teliti dalam memilih filem luar.
“Namun kami percaya kepada kekuatan ceritanya. Dengan usaha berterusan serta sokongan rakan pengedaran, akhirnya kami berjaya membuka laluan itu,” jelasnya.
Filem tersebut turut menerima maklum balas positif daripada pihak Mstudio selepas tontonan awal, khususnya terhadap kombinasi lakonan sebenar dan elemen imej janaan komputer yang memberi sentuhan moden serta segar dalam penceritaan.
Terdahulu, Hun Haqeem menghadiri Malam Gala dan Tayangan Perdana Soloz: Game of Life di Bangkok pada 2 Disember lalu. – UTUSAN










