KUALA TERENGGANU: Hulu Terengganu dan Kemaman menjadi dua daerah terawal terjejas dalam gelombang kedua banjir yang melanda negeri ini sejak semalam yang menyaksikan 212 mangsa berlindung di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS).
Setakat pukul 4.30 petang ini, seramai 158 mangsa daripada 53 keluarga dipindahkan ke lima PPS di Hulu Terengganu manakala 54 orang lagi melibatkan 16 keluarga di Kemaman yang berlindung di dua PPS.
Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan, lima PPS yang beroperasi di Hulu Terengganu adalah Masjid Kampung Peneh yang menempatkan 69 mangsa, Balai Raya Kampung Lubuk Periuk (44 mangsa), Balai Raya Kampung Kemat (21 mangsa), Balai Raya Kampung Pelandan (16 mangsa) dan Balai Raya Kampung Tapah seramai lapan mangsa.
Di Kemaman pula, 44 mangsa berlindung di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Air Puteh dan 10 orang di Dewan Sivik Kampung Air Puteh.
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Terengganu memaklumkan, setakat pukul 12 tengah hari ini, Jalan Bukit Diman/Tersat di Kampung Pengkalan Ajal ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan selepas dinaiki air sedalam 0.90 meter sepanjang kira-kira 300 meter.
Jalan Batu 24/Pengkalan Ajal di Kampung Pasir Pelata turut ditutup kepada kenderaan ringan apabila paras air melebihi 0.40 meter, sekali gus membahayakan pengguna jalan raya.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan perkembangan semasa, mematuhi arahan pihak berkuasa serta mengelakkan laluan yang ditutup bagi memastikan keselamatan.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan dijangka melanda beberapa negeri termasuk Terengganu hingga Khamis ini.
Banjir gelombang pertama yang menjejaskan lebih 10,000 mangsa di negeri ini pulih sepenuhnya pada 2 Disember lalu. – UTUSAN










