PETALING JAYA: Hujan lebat yang melanda negara ketika ini dijangka tidak seteruk kejadian di Sumatera.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, taburan hujan yang direkodkan ketika ini masih berada dalam julat yang normal.
“Setakat maklumat terkini, MetMalaysia tidak menjangka berlaku kejadian-kejadian hujan ekstrem untuk Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.
“(Jangkaan) gelombang (banjir fasa kedua) bukan di bawah tanggungjawab kami, ia perlu disemak dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, negara kini berada dalam tahap kesiapsiagaan tinggi bagi menghadapi kemungkinan berlakunya banjir fasa kedua yang diramal berlaku di beberapa negeri Pantai Timur dalam masa terdekat.
Walaupun keadaan cuaca tidak dapat diramal dengan ketepatan sepenuhnya, katanya, langkah paling utama ketika ini ialah melaksanakan pemindahan awal terutama melibatkan penduduk di kawasan berisiko tinggi.
Baru-baru ini, Mohd. Hisham berkata, hujan lebat berterusan tahap buruk dijangka berlaku di seluruh Kelantan dan Terengganu, sehingga Khamis ini.
Kata beliau, amaran sama turut melibatkan beberapa kawasan di Pahang iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin serta Johor iaitu di Mersing dan Kota Tinggi. – UTUSAN










