GEORGE TOWN : Jaringan hatrik oleh penyerang kelahiran Brazil, Chrigor Flores Moraes membantu Selangor FC membenam cabaran tuan rumah, Penang FC 5-1 dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Bandaraya, malam ini.
Bermula baik, aksi rancak yang cuba ditampilkan oleh kedua-dua pasukan bagaimanapun terganggu seawal minit kedua apabila sebahagian daripada lampu limpah stadium terpadam secara tiba-tiba.
Sebaik sahaja aksi disambung semula kira-kira 22 minit kemudian, pelawat terus melakukan serangan balas pantas dan berjaya membolosi gawang tuan rumah pada minit ke-26.
Gol berpunca daripada gerakan menarik Moraes yang akhirnya berjaya disudahkan dengan baik oleh kapten Selangor FC, Faisal Halim menerusi satu rembatan kaki kiri yang menarik.
Faisal hampir menggandakan jaringan pada minit ke-39, namun, rembatannya berjaya dihalang pemain pertahanan tuan rumah, Stefano Brundo sebelum aksi tergendala buat kali kedua apabila masalah lampu limpah stadium kembali berulang.
Apabila perlawanan disambung semula, skuad Gergasi Merah terus meningkatkan asakan ke kubu tuan rumah dan berjaya memperoleh gol kedua menerusi pemain tengah mereka, Pitcha Aura kira-kira lima minit selepas tambahan masa diberi untuk separuh masa pertama.
Tujuh minit berselang, Moraes pula mencipta nama sebagai penjaring apabila berjaya menyudahkan lorongan kemas Faisal sebelum pemain import Penang FC, Tchetche Kipre cuba merapatkan kedudukan menjadi 1-3 pada minit ke-19 tambahan masa tersebut.
Kealpaan benteng pertahanan skuad Harimau Kumbang pada minit-minit terakhir separuh masa pertama nyaris dihukum oleh Faisal sekali lagi apabila pemain prolifik itu melakukan larian deras dari tengah padang sebelum mengelecek dan melepaskan rembatan kencang yang gagal ditampan oleh penjaga gol Selangor FC, Sikh Izhan.
Bagaimanapun, pengadil, Muhammad Khairulsyahmi Ahmad Khalidi membatalkan jaringan berkenaan selepas video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan bahawa Faisal berada dalam keadaan ofsaid.
Bersambung babak kedua, skuad Harimau Kumbang cuba untuk memburu gol tambahan, namun, kesilapan kapten mereka iaitu Brundo membuat hantaran ke belakang berjaya disambar oleh Moraes untuk gol keempat pelawat.
Moraes kemudian mencipta hatrik yang juga jaringan kelima buat Selangor FC apabila membuat larian bebas dari tengah padang sebelum melepaskan rembatan kencang yang terus menerjah jaring tuan rumah.
Meskipun cuba bangkit pada minit-minit akhir perlawanan, Penang FC gagal untuk menembusi kubu pelawat sekali gus menyaksikan keputusan 1-5 kekal sehingga tamat perlawanan.-UTUSAN










