Harimau kumbang serang ternakan masuk perangkap - Utusan Malaysia

Harimau kumbang serang ternakan masuk perangkap

HARIMAU kumbang betina masuk perangkap yang dipasang Jabatan Perhilitan di Felda Lasah, Sungai Siput semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Kebimbangan penduduk Felda Lasah di sini berhubung kemunculan haiwan liar yang dilaporkan berkeliaran dan menyerang ternakan reda apabila seekor harimau kumbang berjaya ditangkap semalam.

Harimau kumbang betina dengan anggaran usia empat hingga lima tahun itu ditangkap selepas memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Seorang penternak, Aidil Hazwan Bokhari, 34, berkata, kemunculan harimau itu menimbulkan keresahan penduduk selepas ternakan mereka ditemukan mati dengan kesan serangan haiwan liar.

Katanya, kejadian itu bukan hanya dialaminya sendiri malah beberapa penternak lain turut berdepan kejadian sama.

“Semalam pun semasa saya lepaskan lembu, saya perasan seekor anak lembu hilang dan tak lama lepas itu bangkainya dijumpai di ladang kelapa sawit dalam keadaan tidak sempurna.

“Selepas buat laporan, Perhilitan datang pasang perangkap dan bangkai anak lembu tersebut dijadikan umpan. Hasilnya, harimah kumbang itu masuk perangkap,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, haiwan pemangsa itu memburu haiwan ternakannya yang disimpan dalam kawasan kandang.

Katanya, sejak keluarganya mengusahakan ternakan lebih 20 tahun lalu, beberapa kali lembu peliharaan mereka menjadi mangsa haiwan liar.

“Saya bersyukur akhirnya kerisauan penternak di sini terjawab. Jadi, dengan tertangkapnya harimau kumbang ini, lega sedikit kebimbangan kami,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, perangkap itu dipasang pada hari sama pihaknya menerima laporan berkaitan serangan haiwan liar.

Katanya, harimau tersebut kemudiannya telah ditranslokasi ke kawasan lain. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN