Haaland pahat sejarah baharu EPL

Haaland pahat sejarah baharu EPL

ERLING Haaland kini meledak 100 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Erling Haaland melakar sejarah apabila muncul pemain terpantas mencetak 100 jaringan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas meledak gol ketika Manchester City menewaskan Fulham 5-4, semalam.

Haaland menyempurnakan lorongan pada babak pertama di Craven Cottage untuk meraih jaringan ke-100 hanya dalam 111 penampilan, memecahkan rekod Alan Shearer yang 124 perlawanan untuk mencapai angka sama.

“Ini satu detik besar dan saya sangat berbangga. Berada dalam kelompok 100 gol adalah sesuatu yang istimewa.

“Saya tahu mengenai rekod tersebut dan ia memang matlamat saya. Peranan saya adalah membantu pasukan menjaringkan gol,” kata bintang Norway itu.

Kejayaan itu hadir selepas Haaland melalui tiga aksi tanpa jaringan bertemu Newcastle, Bayer Leverkusen dan Leeds sebelum kembali menemui sentuhan penyudahnya.

Statistik menunjukkan betapa tajamnya penyerang berusia 25 tahun itu dengan 71 daripada 100 golnya hadir dengan kaki kiri, manakala 17 menerusi tandukan.

“Sebagai penyerang Manchester City, anda memang perlu menghasilkan jumlah gol yang tinggi. Jika saya tidak menjaringkan gol, kritikan itu normal. Saya hanya perlu terus memberi yang terbaik,” jelasnya.

Haaland membuka tirai jaringan City pada minit ke-17 selepas menerima hantaran Jeremy Doku sebelum melepaskan rembatan kencang yang menewaskan Bernd Leno dari jarak 12 ela. Jaringan itu turut membawa jumlahnya kepada 15 gol liga musim ini dan 20 gol dalam semua pertandingan.

“Perlawanan tadi sangat gila, sembilan gol terhasil. Pasti menghiburkan untuk ditonton. Kami tetap gembira dengan kemenangan itu walaupun ia bukan aksi paling meyakinkan,” katanya.

City kini hanya dua mata di belakang pendahulu liga, Arsenal, namun Haaland menegaskan mereka tidak boleh terlalu fokus kepada pencabar.

Walaupun mengumpul 100 gol dengan segera, Haaland masih jauh daripada rekod sepanjang zaman EPL milik Shearer yang mencatatkan 260 gol.

“Fulham bukan lawan mudah dan Arsenal juga menang di sini. Kami perlu lihat diri sendiri. Hari ini prestasi kami tidak cukup baik dan kami perlu segera baiki.

“Saya tahu mengenai rekod itu tetapi saya tidak memikirkannya sangat,” ujarnya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN