Graduan UPM perlu terus lonjak kecemerlangan sebagai alumni - Tan Sri Peter Chin

Graduan UPM perlu terus lonjak kecemerlangan sebagai alumni – Tan Sri Peter Chin

PETER Chin Fah Kui berucap pada pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-49 Sidang 2 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM, Serdang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) diseru memainkan peranan aktif sebagai alumni bagi terus mengangkat nama universiti ke peringkat serantau dan antarabangsa.

Pro Canselor UPM, Tan Sri Peter Chin Fah Kui berkata, alumni merupakan aset penting yang mampu memperkukuhkan reputasi universiti sebaik sahaja melangkah keluar dari kampus.

“Alumni adalah komponen utama dalam melonjakkan kecemerlangan universiti pada peringkat serantau dan antarabangsa. Sebaik meninggalkan kampus ini, graduan secara rasmi menjadi alumni UPM,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-49 Sidang 2 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM di sini, hari ini.

Beliau turut menekankan kepentingan hubungan berterusan antara alumni dan alma mater, selaras dengan budaya memberi kembali kepada universiti.

“Saya berharap anda sebagai alumni yang matang, terus menyokong usaha memperkukuh dan mengeratkan hubungan dengan UPM. Konsep ‘kembali memberi’ amat dihargai dan dipandang tinggi,” katanya.

Peter berkata, pelbagai projek kerjasama antara alumni dan universiti telah dijalankan, termasuk pembangunan Menara Putra Warisan Budi, mercu tanda baharu melambangkan penyatuan warga alumni.

“Sebagai simbol kerjasama baik antara alumni dan alma mater, pelbagai projek telah dan akan terus dirancang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Peter menegaskan komitmen UPM sebagai universiti penyelidikan yang memberi tumpuan kepada kajian berimpak tinggi, relevan dan selari visi serta misi universiti.

“UPM terus memperkukuh penyelidikan berimpak tinggi sebagai teras dalam mengangkat visi dan misi universiti,” katanya.

Menurut beliau, melalui pelaksanaan inisiatif secara sistematik, UPM kini muncul antara peneraju pengkomersialan teknologi dengan 270 harta intelek penyelidik berjaya dikomersialkan di peringkat nasional dan antarabangsa, selain penubuhan 80 syarikat pemula.

Antara inovasi yang menonjol ialah Mr. MoleC, produk bio-repellent mesra alam berasaskan tumbuhan yang membantu petani meningkatkan hasil tanpa bergantung kepada racun kimia.

“Inovasi ini bukan sahaja membantu petani meningkatkan pendapatan, malah mengurangkan kebergantungan terhadap bahan kimia berbahaya,” katanya.

Beliau turut berbangga dengan usaha UPM memperkukuh peranan sebagai universiti peneraju keterjaminan makanan negara melalui rangkaian Nexus Keterjaminan Makanan yang merangkumi 20 universiti awam dan tujuh universiti swasta.

“Atas komitmen ini, UPM diiktiraf mengetuai ASEAN University Network for Agriculture and Food Security (AUN-AFS), selaras aspirasi universiti mengangkat agenda kesihatan planet dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG),” katanya.

Seruan tersebut disifatkan sejajar dengan kedudukan UPM sebagai universiti penyelidikan terkemuka, sekali gus mencerminkan harapan agar kecemerlangan kampus diteruskan melalui sumbangan dan jaringan alumni di seluruh dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN