PETALING JAYA: Pengarah dan juri festival filem antarabangsa, Tan Chui Mui berkata setiap festival filem mempunyai garis panduan penjurian yang jelas sebelum proses pemilihan pemenang dijalankan.
Menurut Tan, para juri diberikan borang khas untuk mencatat markah sepanjang menonton kira-kira 20 buah filem dalam tempoh seminggu, di sebuah bilik tayangan khusus yang disediakan penganjur.
“Biasanya pihak festival menetapkan fokus tertentu sama ada mahu mengetengahkan isu sosial, menekankan aspek kreativiti atau meraikan karya sulung pengarah baharu.
“Ketika proses penjurian, semua juri menonton filem di skrin besar dan menggunakan borang penilaian yang disediakan.
“Borang itu sangat membantu kerana dalam tempoh seminggu kami perlu menonton sehingga 20 filem. Sukar untuk mengingati semua butiran tanpa catatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tan bagaimanapun menjelaskan, walaupun borang penilaian menjadi panduan awal, tapi sesi perbincangan tetap menjadi medan utama sebelum keputusan akhir dibuat, dan sesi itu akan dikendalikan Ketua Juri.
“Apa yang dianggap ‘filem terbaik’ sebenarnya sangat subjektif. Anda mungkin terkejut mengetahui betapa hebat perdebatan yang berlaku dalam bilik penjurian.
“Bayangkan, perbincangan terpanjang yang pernah saya lalui mengambil masa sehingga 11 jam. Ada juri yang sampai berkata, ‘langkah mayat saya dulu’ apabila kami mencadangkan untuk memberikan anugerah kepada filem tertentu,” katanya.
Jelas Tan, proses penilaian lazimnya melalui dua peringkat. Jawatankuasa Prapemilihan akan menonton sehingga 1,000 filem sebelum menyaring 100 karya terbaik.
Sementara juri pemilihan akhir akan menilai sekitar 20 filem paling berkualiti daripada senarai tersebut.
Pengarah Love Conquers All itu turut menekankan kepentingan kepelbagaian disiplin dalam kalangan juri bagi memastikan penilaian lebih seimbang.
“Barisan juri biasanya terdiri daripada pengarah, pengkritik, pelakon dan profesional dalam bidang perfileman.
“Kalau hanya pelakon menilai kategori Pelakon Terbaik, hasilnya boleh menjadi sangat bias. Setiap individu dalam bidang tertentu sudah ada kecenderungan dan estetika tersendiri yang kadangkala agak sempit.
“Sebagai pengarah, saya mungkin lebih cenderung menyukai gaya pengarahan tertentu dan lebih kritikal terhadap gaya lain.
“Jadi saya bukanlah individu paling objektif untuk menilai kategori pengarahan. Tetapi saya mungkin lebih terbuka menilai kategori lain seperti lakonan,” katanya.
Tan sebelum ini pernah menjadi juri di Festival Filem Antarabangsa Busan, Rotterdam, Shanghai serta Clermont-Ferrand.
Terdahulu, salah seorang juri Festival Filem Malaysia ke-34, Erma Fatima, mendedahkan bahawa tiada penilaian objektif digunakan dalam menentukan pemenang sesebuah kategori, sekali gus mencetuskan persoalan serta perdebatan hangat dalam kalangan peminat filem tempatan. -UTUSAN










