Ernie Zakri serba salah berpakaian ringkas terima trofi, rupanya sudah pulang - Utusan Malaysia

Ernie Zakri serba salah berpakaian ringkas terima trofi, rupanya sudah pulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ernie Zakri,  tampil menjelaskan kekeliruan mengenai penampilannya yang ringkas ketika menerima trofi Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular (ABP) ke-37, di Premiera Hotel, semalam.

Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, berkata, penampilannya itu berlaku kerana dia langsung tidak menyangka bakal diumumkan sebagai pemenang anugerah utama malam berprestij berkenaan.

Menurutnya, dia sempat meminta kebenaran pihak produksi untuk pulang lebih awal kerana mahu bertemu suami dan anak di rumah.

“Saya memang tidak sangka akan menang. Saya ada bertanya kepada pihak produksi sama ada boleh pulang lebih awal. Jawapan yang diberikan agak separuh-separuh, mereka mahu saya kekal, tetapi memahami sekiranya saya mahu balik.

“Jadi, saya memilih untuk pulang kerana ada anak dan suami menunggu di rumah. Saya juga sudah menukar pakaian di hotel lain, sebab itu saya hanya berpakaian ringkas ketika kembali ke sini,” katanya.

Ernie berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pemenang ABP37, semalam.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Masing-Masing itu terkejut apabila menerima panggilan kecemasan daripada wakil penganjur yang memintanya segera kembali ke dewan acara selepas namanya diumumkan sebagai pemenang.

Memandangkan berada di hotel berbeza dan berdepan kesesakan lalu lintas, Ernie terpaksa bergegas turun daripada kenderaan sebelum berlari menuju ke lokasi acara.

“Apabila menerima panggilan, saya terkejut kerana sudah pun pulang. Saya maklumkan kepada mereka bahawa saya sudah menukar pakaian, namun diminta datang juga dan mereka kata tidak mengapa.

“Disebabkan trafik sesak, saya mengambil keputusan turun di kawasan beli-belah dan berlari dari Menara Tabung Haji ke sini,” ujarnya.

Tambah Ernie, situasi itu menyebabkan dia kelihatan tercungap-cungap selain berasa serba salah kerana tidak tampil dengan busana yang lebih sesuai ketika menerima anugerah berprestij tersebut.

“Sebab itu mungkin saya kelihatan mengah di atas pentas, satu kerana terkejut, satu lagi kerana penat berlari.

“Sejujurnya, saya rasa penonton layak melihat saya tampil cantik, namun saya mohon maaf kerana semuanya berlaku secara tiba-tiba,” jelasnya.

Terdahulu, Ernie dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular ABP37 selepas meraih lebih 124 juta undian, sekali gus membawa pulang trofi, jambangan bunga dan wang tunai berjumlah RM30,000.

Lebih manis, beliau turut memenangi kategori Penyanyi Wanita Popular, menewaskan pencabar lain termasuk Emma Maembong, Sweet Qismina, Tracie Sinidol dan Wani Kayrie. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN