Enggan merempat, Along Kamaludin tukar bidang ketika nama memuncak - Utusan Malaysia

Enggan merempat, Along Kamaludin tukar bidang ketika nama memuncak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAHROM Kamaludin atau Along Kamaludin ketika penghujung era 80-an dan awal 90-an dulu pernah menjadi pelakon buruan pengarah dan penerbit.

Selepas kemunculan sebagai watak pembantu dalam filem Dendang Remaja dan Kepala Angin, Along diberi kepercayaan membawa watak utama menerusi filem Jibon.

Namun selepas 15 tahun menempa nama sejak 1984, peminatnya menyedari beliau semakin jarang dan akhirnya menghilang daripada kerja-kerja depan kamera.

Beliau ketika itu sebenarnya masih aktif dalam dunia perfileman, namun telah bertukar bidang kepada bahagian belakang tabir.

“Selepas 15 tahun berlakon, saya terdetik untuk tukar bidang selepas mengenangkan nasib pelakon-pelakon veteran ketika itu yang ramai antara mereka hidup susah, ada yang merempat dan terlampau miskin. Keadaan itu menyedarkan saya. Dari situ muncul pertanyaan, sampai bila hendak jadi pelakon?

“Sejak itu saya tetapkan misi, saya mahu jadi pengarah kemudian, penerbit. Lepas lama berlakon, saya tukar bidang ke belakang tabir sebagai penjaga konti beberapa drama dengan bayaran RM600 hingga RM800 untuk satu episod.

“Bayaran itu memang teramat rendah kalau dibandingkan dengan gaji menjadi pelakon yang boleh mencecah sehingga RM8,000 untuk sebuah filem,” kongsinya.

Keputusan peralihan bidang itu diambil anak jati Kuala Lumpur ini ketika namanya mekar sebagai pelakon. Along tidak menafikan ramai rakan industri ketika itu kehairanan dan berteka teki apabila beliau, seorang pelakon yang terkenal, melakukan kerja-kerja produksi.

“Jadi, bila bertukar bidang, orang sangka saya sudah tidak ditawarkan berlakon.

“Sebenarnya, saya hendak belajar kerja-kerja produksi sebelum duduk di kerusi pengarah. Saya juga pernah bertugas sebagai floor manager untuk sitkom Spanar Jaya.

“Ketika itu ramai juga hairan kenapa saya melakukan kerja-kerja produksi ketika nama sedang memuncak sebagai pelakon,” katanya.

Peluang Along bergelar pengarah bertitik tolak apabila dia ditawarkan untuk menjadi sutradara untuk drama Kisah Benar bagi episod Pemburu, yang ketika itu ditayangkan di TV3.

“Pengarah asal drama itu, Nahar Akhbar Khan meminta saya menyambung tugasnya atas sebab kesihatannya yang masa itu tidak membenarkan. Tapi saya dapat rasakan beliau sebenarnya sengaja kerana mahu bagi saya peluang duduk di kerusi pengarah.

“Katanya dia diserang migrain, jadi minta saya ganti tugas jadi pengarah. Masa itu saya bertugas sebagai penolong pengarah. Saya anggap ia kerja gila sebab saya tidak ada pengalaman bergelar pengarah.
“Tapi saya tidak sangka episod itu menerima sambutan cukup baik,” ujarnya.

TUAH MEMBANTU NORA
Along, sekitar 1984, selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mencari peluang pekerjaan sementara menunggu keputusan peperiksaan tersebut.

Pelbagai temu duga disertainya, antaranya untuk menjadi pembantu tukang masak, jurujual kedai lampu dan pelayan restoran. Semua gagal.

Seorang sahabat meminta bantuan Along untuk menemaninya menghadiri uji bakat lakonan anjuran syarikat produksi, Freelance. Pada awalnya beliau menolak kerana tidak berminat untuk menjadi pelakon.

“Akhirnya saya bersetuju. Pada hari kejadian, kami menunggu dari pagi sampai ke petang kerana calon uji bakat terlalu ramai. Dan ketika itulah, saya didatangi salah seorang penyelaras sesi uji bakat tersebut yang meminta pertolongan saya menjadi pasangan lakonan kepada seorang calon uji bakat dari Pahang bernama Nora.

“Awalnya saya ralat. Namun selepas dipujuk, akhirnya saya bersetuju. Kerana tanpa pasangan, Nora tidak layak menjalani uji bakat. Kami orang terakhir yang berjumpa panel sesi tersebut. Saya kagum melihat bilik yang kami masuki itu di mana sekitarnya didirikan kad manila yang tertera dialog.

“Ketika uji bakat bermula, Nora menangis untuk menjayakan babak sedih. Saya tak tahu berbuat apa, saya pegang bahu Nora untuk mententeramkannya. Tiba-tiba saya tersedar yang perbuatan menyentuh Nora itu salah. Saya segera minta maaf, ucap terima kasih dan beredar dari bilik tersebut.

“Satu minggu selepas itu saya terima panggilan kakitangan syarikat produksi berkenaan dan dimaklumkan saya telah terpilih sebagai pelakon watak pembantu dalam filem Dendang Remaja disamping Azman Abu Hassan, Erma Fatima dan ramai lagi. Saya memang tak percaya, tapi itulah rezeki yang Allah sudah tentukan,” ceritanya.

DENDAM
Antara pengalaman awal bergelar pengarah adalah apabila Along ditawarkan penerbit, Nora Hendon untuk mengarahkan sebuah telemovie bertajuk Dendam yang mana skripnya ditulis oleh Along sendiri.

Nora percaya Along berkemampuan meskipun lebih awal memaklumkan yang beliau tidak berpengalaman sebagai pengarah. Along mengakui tidak mudah menyiapkan telemovie itu kerana terpaksa berdepan pihak-pihak tertentu yang tidak senang dengan pemilihannya sebagai pengarah telemovie itu.

“Besar dugaan yang saya tempoh sewaktu menyiapkan telemovie berkenaan. Macam-macam cara dilakukan oleh pihak-pihak tertentu supaya saya lepaskan kerja pengarahan.

“Sampaikan ada seorang hamba Allah ini, panggil saya ke rumahnya di Keramat, tawarkan saya sejumlah wang, kembalikan skrip saya dan minta saya lepaskan posisi sebagai pengarah.

“Masa itu juga saya kembalikan cek itu, ambil skrip saya dan katakan kepada individu itu yang saya tidak berminat duitnya.

KUALA LUMPUR, 03 Disember 2025 – Pengarah Along Kamaludin ketika sesi wawancara bersama Utusan Malaysia di Melawati Mall di sini. Gambar M. FIRDAUS M. JOHARI

“Penerbit, Nora Hendon, mengamuk apabila mengetahui yang saya hampir melepaskan tugas pengarahan tersebut.

“Katanya saya perlu abaikan apa sahaja cubaan atau desakan untuk saya meletak jawatan. Jadi, saya ambil cabaran dan siapkan telemovie itu. Ketika itu penolong pengarah adalah Haikal Hanafiah,” kongsinya.

Along berdepan fasa mencabar sepanjang menyiapkan telemovie. Beliau pada masa sama terpaksa bekerja dengan sekumpulan orang yang tidak mempercayai kemampuannya menerajui projek berkenaan.

“Masa itu saya ditertawakan kru dan jurukamera hanya disebabkan saya wujudkan story board untuk telemovie itu. Kata mereka buat telemovie tak perlu story board.

“Tapi saya tidak pernah mempedulikan reaksi negatif orang sekeliling. Saya teruskan cara saya. Alhamdulillah ditakdirkan telemovie itu menerima tontonan memberangsangkan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN