IPOH: Kerajaan negeri akan memastikan semua sekolah kekal sebagai zon neutral politik yang bebas daripada sebarang bentuk propaganda.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, institusi pendidikan adalah kawasan berkecuali dan tidak boleh dijadikan sebagai medan politik kepartian.
Menurutnya, prinsip itu telah diperincikan secara jelas melalui beberapa dasar dan peraturan yang masih berkuat kuasa.
Beliau berkata, antaranya melalui Asas Peraturan dan Pekeliling Berkaitan Larangan Politik di Sekolah iaitu di bawah Akta Pendidikan 1996 [Akta 550] yang menetapkan sekolah kerajaan adalah institusi awam bagi tujuan pendidikan dan tidak boleh digunakan bagi aktiviti yang mengganggu ketenteraman, keselamatan atau fokus pendidikan, termasuk kegiatan politik kepartian.
“Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 4 Tahun 2023: Garis Panduan Undangan atau Lawatan Orang Kenamaan dan Ahli Politik ke Institusi Pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih berkuat kuasa.
“Semua pihak luar, termasuk pemimpin masyarakat atau ahli politik, hanya boleh memasuki sekolah untuk tujuan bukan politik dan mesti mendapat kelulusan bertulis daripada Pengetua atau Guru Besar untuk aktiviti peringkat sekolah.
“Juga perlu mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendidikan atau KPM untuk program yang melibatkan tokoh politik atau pemimpin kerajaan.
“Garis panduan ini menegaskan program yang dibenarkan mestilah bersifat pendidikan, kebajikan, keselamatan, motivasi, atau pembangunan insan dan tidak mengandungi elemen kempen politik atau promosi parti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika penggulungan Belanjawan Perak 2026 pada Persidangan Dewan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Sementara itu, Khairudin berkata, penetapan pembinaan sekolah berasrama penuh (SBP) adalah berdasarkan unjuran keperluan nasional dan tidak semestinya setiap daerah memerlukan sebuah SBP atau atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Menurutnya, pembinaan SBP adalah berdasarkan kapasiti sedia ada dan jumlah permohonan kemasukan ke SBP secara keseluruhan dan bukan berdasarkan keperluan setiap daerah secara individu.
“Tidak semestinya setiap daerah memerlukan sebuah sekolah berasrama penuh atau Maktab Rendah Sains MARA kerana keupayaan institusi sedia ada masih mencukupi untuk menampung keperluan akses pendidikan berasrama penuh bagi negeri ini,” katanya. – UTUSAN










