DUN Perak: 930.7 hektar tanah PKNPk berstatus pertanian - Utusan Malaysia

DUN Perak: 930.7 hektar tanah PKNPk berstatus pertanian

SAARANI Mohamad semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Hanya 930.7 daripada 7,142.9 hektar tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) di seluruh negeri dikenal pasti berstatus syarat nyata pertanian.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, daripada jumlah itu, kira-kira 550.7 hektar telah mempunyai komitmen sewaan dan pajakan dengan pihak ketiga.

“Pada dasarnya, PKNPk tidak menjalankan aktiviti pertanian sebagai fungsi teras, namun, sebahagian tanah dalam bank tanah agensi itu terdiri daripada tanah berstatus pertanian.

“Tanah berkenaan diperoleh melalui dasar pengambilan serta perancangan pembangunan negeri,” katanya ketika menjawab soalan lisan Mohamad Husairi Ariffin (Kenering-PN) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15, di sini hari ini.

Menurut Saarani, selaras dengan keperluan pengurusan aset yang berhemah, tanah-tanah tersebut perlu diurus secara aktif bagi mengelakkan kemerosotan nilai, pencerobohan serta liabiliti penyelenggaraan yang tidak produktif.

Malah beliau berkata, bagi memastikan tanah-tanah tersebut kekal teratur, bernilai dan berimpak positif sementara menunggu pelaksanaan pembangunan strategik, PKNPk turut melaksanakan penyewaan jangka pendek sebagai instrumen pengurusan aset interim.

“Pendekatan ini mengekalkan produktiviti minimum tanah tanpa menjejaskan fleksibiliti PKNPk untuk memulakan projek strategik yang dirancang di bawah roadmap atau peta hala tuju transformasi dan aspirasi Perak Sejahtera 2030,” katanya.

Tambah beliau, daripada 7,142.9 hektar tanah miliki PKNPk termasuk yang berstatus kelulusan prinsip, sebanyak 3436.5 hektar adalah di bawah inisiatif Strategic Land Value Proposition (SLVP).

Katanya, tanah-tanah itu terletak di lokasi yang berpotensi untuk pembangunan pelbagai sektor utama seperti pembangunan hartanah serta industri berasaskan mineral dan hospitaliti.

“Selain itu, ia juga sesuai untuk sektor pelancongan, teknologi hijau, ekonomi digital serta pembangunan pelabuhan dan logistik,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN