KUALA LUMPUR: Bermula sebagai peminat setia, penyanyi JessC tidak menyangka impiannya menjadi kenyataan apabila berpeluang menyanyikan lagu kegemarannya, Dia, bersama penyanyi asal lagu tersebut, Fauziah Latiff, di pentas yang sama.
Menurut JessC, detik berkenaan disifatkan sebagai satu momen berharga kerana kira-kira 10 tahun lalu, beliau pernah menyampaikan lagu tersebut ketika konsert solonya.
“Saya memang meminati Fauziah Latiff sejak kecil dan Dia merupakan antara lagu kesukaan saya. Untuk makluman, sekitar 10 tahun lalu saya pernah membawakan lagu ini dalam konsert solo saya.
“Kali ini, saya sendiri menawarkan kepada beliau untuk menyanyikan lagu tersebut secara duet. Tidak sangka beliau bersetuju. Ia satu penghormatan besar kerana beliau tidak pernah menyanyikan lagu Dia secara duet dengan mana-mana penyanyi sebelum ini.
“Saya boleh katakan, semuanya terasa sangat indah,” katanya selepas Konsert My Style yang berlangsung di Mega Star Arena, di sini, baru-baru ini.
Tambah JessC, selepas kejayaan menghasilkan lagu duet Tak Terpisah bersama Fauziah Latiff sebelum ini, beliau merancang untuk meneruskan kolaborasi dengan merakam lagu baharu sama ada sempena Tahun Baharu Cina atau Hari Raya.
Mengulas mengenai penganjuran Konsert My Style, JessC berkata konsert kali kedua itu diadakan dengan kualiti lebih baik susulan kejayaan konsert sama di Arena of Stars, Genting Highlands, Mei lalu.
“Cabaran paling besar adalah tarian. Walaupun nampak ringkas, ia sebenarnya memerlukan stamina yang tinggi. Saya membuat persiapan rapi termasuk latihan fizikal seperti bermain ping pong.
“Saya berlatih sekurang-kurangnya empat jam sehari. Dahulu saya merupakan pemain ping pong wakil negeri di Queensland, Australia, namun terpaksa berehat seketika selepas mengalami kecederaan pada Oktober lalu.
“Saya masih dalam proses pemulihan, sebab itu perlu berhati-hati ketika menari. Namun, di penghujung konsert saya cuba memberikan yang terbaik terutama ketika membawakan lagu Sinaran,” katanya.
Terdahulu, konsert My Style berlangsung selama tiga setengah jam menyaksikan JessC mempersembahkan sebanyak 40 buah lagu tanpa henti, merangkumi pelbagai bahasa termasuk Mandarin, Melayu, Inggeris, Jepun dan Kantonis. -UTUSAN










