Dua rentung dalam kebakaran: Saksi dakwa dengar mangsa minta tolong

Dua rentung dalam kebakaran: Saksi dakwa dengar mangsa minta tolong

KEADAAN sebuah rumah yang terbakar di Taman Rathna, Butterworth, Pulau Pinang sehingga mengorbankan dua nyawa, hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Seorang saksi kejadian kebakaran yang mengorbankan dua nyawa di sebuah rumah di Taman Rathna di sini pagi tadi mendakwa terdengar mangsa menjerit meminta tolong.

S. Suppamal, 52, berkata, ketika kejadian, dia kebetulan berada tidak jauh dari situ selepas pulang daripada bersembahyang dan berjumpa dengan rakannya.

“Kami cuba tolong mangsa, tapi tak boleh sebab rumah itu berkunci. Saya dan kawan juga ada pusing belakang rumah untuk lihat kalau-kalau ada pintu atau tingkap terbuka untuk masuk, tapi, tak jumpa.

“Jiran-jiran yang datang untuk tolong pun semua tak boleh buat apa sebab rumah itu berkunci. Saya dengar suara menjerit minta tolong itu sekali sahaja, selepas itu senyap,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9.41 pagi itu, seorang wanita, Hayani Yaakob, 50-an dan anak angkatnya, Andra, dijumpai dalam keadaan rentung di ruang tamu berhampiran pintu keluar utama rumah tersebut.

Sementara itu, seorang lagi mangsa iaitu anak kepada Hayani, Daniel Qayyum Kamarozlan, 20-an yang cedera akibat dihempap bumbung pula ditemui berada di ruangan dapur rumah berkenaan.

Mengulas lanjut, Suppamal yang juga seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) berkata, api marak terlalu cepat dan kawasan rumah itu dipenuhi dengan asap yang tebal dalam masa yang singkat.

Kata Suppamal, dia juga ada terlihat seorang lelaki berusaha menggoncang pintu besi rumah terbabit untuk memecah masuk ke dalam rumah berkenaan, tapi gagal.

“Saya juga cuba tolong dan sempat ambil payung untuk pecahkan tingkap, tetapi, tak boleh juga kerana ada ‘grill’ (jeriji besi) dan berkunci,” katanya yang memberitahu, mangsa hanya berjaya dikeluarkan selepas pasukan bomba tiba tidak lama kemudian.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×