KEMAMAN: Perjalanan lapan sahabat ke tempat kerja berakhir tragedi apabila dua daripada mereka maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki merempuh tiang elektrik di Kilometer 3 Jalan Paka-Bandar Al Muktafi Billah Shah berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Paka, di sini hari ini.
Kemalangan kira-kira pukul 7.30 pagi itu mengakibatkan Muhammad Asyraf Mohd .Zahir, 21, dan seorang lelaki warga Pakistan dikenali Siraj Noman, 27, meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan di beberapa bahagian badan.
Enam orang lagi pula cedera dan sedang menerima rawatan di hospital.
Difahamkan, ketika kejadian, mereka yang merupakan pekerja kontrak sebuah syarikat sedang dalam perjalanan dari Bandar Paka ke tempat kerja di Kampung Santong, di sini.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila MPV jenis Toyota Avanza yang dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh tiang elektrik.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II, Rohaya Jamil berkata, tujuh anggota bomba digerakkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 7.34 pagi.
Katanya, enam mangsa didapati keluar dari kenderaan itu dengan bantuan orang awam dan pasukan bomba membantu mengeluarkan dua lagi mangsa yang tersepit.
“Anggota menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya. – UTUSAN









