Dividen Felcra 15 %, bayar awal 2026

Dividen Felcra 15 %, bayar awal 2026

Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan sumbangan Koperasi Peserta-Peserta FELCRA Malaysia Berhad (KPFB) bernilai RM10,000 untuk peneroka yang terlibat dengan banjir baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dividen ber­asaskan operasi Lembaga Penya­tuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) bagi tahun kewangan 2025, ditetapkan pada kadar 15 peratus dan dijangka dibayar pada awal tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kadar dividen itu mencerminkan keupayaan Felcra untuk mengekalkan keuntungan lebih berdisiplin dan pemantauan rapi bagi memastikan koperasi serta anak syarikatnya terus mencatat prestasi mampan tanpa ketirisan.

“Kita mahu koperasi ini terus menjadi contoh terbaik, bukan saja dari segi keuntungan tetapi juga tadbir urus dan manfaat kepada ahli.

“Pendekatan saya adalah ‘hands-on’ dan jika melakukan pemantauan, tidak boleh terbu­ru-buru serta tidak boleh mela­kukan ketirisan,” katanya ketika merasmikan Majlis Makan Malam Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Ke-43 Koperasi Peserta-Peserta FELCRA Malaysia Berhad (KPFB), di sini, malam semalam.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, prestasi KPFB sebagai anak syarikat membuktikan kekuatan model koperasi yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan perniagaan dengan tanggungjawab sosial, selaras prinsip pembangunan inklusif.

Ahmad Zahid berkata, KPFB bukan sekadar mengejar keuntungan, sebaliknya turut membina kejayaan perniagaan yang memberi manfaat kepada peserta, komuniti dan keseluruhan ekosistem FELCRA.

Sejak penubuhannya lebih dua dekad lalu, kata beliau, KPFB telah menyalurkan dividen lebih RM20 juta kepada koperasi-koperasi peserta FELCRA bawah naungannya, dengan prestasi cemerlang yang turut diiktiraf menerusi penganugerahan Status Koperasi Premier 2025 oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Beliau turut mengumumkan elaun kehadiran bagi Mesyuarat Agung Perwakilan KPFB tahun ini ditetapkan sebanyak RM1,000 sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen, kese­tiaan serta peranan aktif perwa­kilan dalam memperkukuhkan hala tuju koperasi itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN