PETALING JAYA: Pengarah, Suhaimi Lua, terkejut dengan tindakan seorang pengurus yang meletakkan bayaran puluhan ribu bagi seorang artis jagaannya.
Malah, sutradara tersebut turut tersentak apabila sebut harga diletakkan itu adalah untuk pelakon yang masih cuba menapak dalam dunia lakonan.
“Terperanjat saya apabila pengurus itu meletakkan kira-kira RM25,000 sebagai bayaran untuk pelakon itu.
“Pada saya, kadar itu tak wajar. Saya kenal pelakon itu, saya tahu tahap kebolehannya, berlakon pun tak sampai.
“Sebagai pelakon baharu, jumlah yang diletakkan itu terlalu tinggi. Meskipun selepas itu diturunkan kepada RM15,000, masih tak munasabah,” kongsinya.
Suhaimi dalam masa yang sama mempersoalkan kewajaran pengurus berkenaan yang meletakkan sebut harga tidak munasabah bagi perlakon itu.
“Saya tak faham tindak tanduk sebilangan besar pengurus artis zaman sekarang ini yang tidak rasional langsung dalam meletakkan kadar bayaran artis jagaan mereka.
“Kalau ikutkan, tak ada halangan untuk saya hubungi terus pelakon berkenaan untuk mendapatkan pencerahan. Tapi saya masih ada rasa hormat dan enggan melangkau pengurusnya.
“Tapi, saya simpati dengan pelakon itu, malang, kerana dijaga pengurus sedemikian,” ujarnya.- UTUSAN










