Ini tanggungjawab saya - Shamsul Anuar

Ini tanggungjawab saya – Shamsul Anuar

SHAMSUL Anuar Nasarah. - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah menegaskan beliau tidak pernah berjumpa dengan mana-mana ahli-ahli Parlimen pembangkang untuk mengadu mengenai usul menggantung Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu).

Ia selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengatakan Shamsul Anuar ada berjumpa dengan wakil rakyat dari blok pembangkang dan mengadu kerana diarahkan membawa usul untuk gantung Takiyuddin selama enam bulan.

Shamsul Anuar berkata, dakwaan tersebut tidak benar dan beliau tidak pernah berbuat demikian.

“Yang Berhormat (YB) sebut saya berjumpa dengan salah seorang ahli YB yang mengatakan saya terpaksa bawa (usul gantung Takiyuddin).

“Saya tidak berjumpa dengan sesiapa (dari blok) YB, ini adalah tanggungjawab saya sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meminta Hamzah menarik semula kenyataannya.

Persidangan pada hari ini kecoh selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) membacakan usul untuk menggantung Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) itu atas kenyataan yang mengaitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan peristiwa Memali.

Semalam, Takiyuddin mendakwa usul penggantungan enam bulan terhadapnya sebagai bertindih dan double jeopardy serta melangkaui usul yang pernah dikemukakan kepadanya sebelum ini

Beliau berkata, oleh itu usul Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tidak sah di sisi undang-undang.

Beliau juga mendakwa prosedur untuk membawanya ke jawatankuasa susulan usul pertama yang pernah dikemukakan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) sebelum ini belum lagi selesai dengan beliau masih tidak dipanggil untuk menghadiri sebarang prosiding. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN