Dembele, Aitana raih Pemain Terbaik FIFA - Utusan Malaysia

Dembele, Aitana raih Pemain Terbaik FIFA

Ousmane Dembele dinobat Pemain Lelaki Terbaik FIFA manakala perancang tengah Barcelona, Aitana Bonmati merangkul anugerah kategori wanita di Qatar, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Penyerang Perancis dan Paris Saint-Germain (PSG), Ousmane Dembele dinobat Pemain Lelaki Terbaik FIFA manakala perancang tengah Barcelona, Aitana Bonmati merangkul anugerah kategori wanita pada majlis anugerah di Qatar,semalam.

Dembele, 28, sebelum ini telah memenangi anugerah Ballon d’Or pada September lalu selepas menikmati musim cemerlang bersama PSG yang menyaksikan kelab Ligue 1 itu menjulang gelaran Liga Juara-Juara buat kali pertama.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan. Kerja keras pasti berbaloi, ini tahun yang sangat hebat buat saya, secara individu dan berpasukan,” kata Dembele.

Bekas penyerang Borussia Dortmund dan Barcelona itu, yang juga tonggak Perancis juara Piala Dunia 2018, meledak 35 gol dalam semua pertandingan ketika PSG meraih gelaran berganda liga dan piala Perancis selain kejayaan di Eropah.

Pengendali PSG dari Sepanyol, Luis Enrique dipilih sebagai jurulatih terbaik pasukan lelaki, mengatasi Hansi Flick dari Barcelona dan pengurus Liverpool yang menjuarai Liga Perdana Inggeris, Arne Slot.

Bonmati, 27, pula dinobat sebagai Pemain Wanita Terbaik FIFA buat kali ketiga berturut-turut, selepas turut memenangi Ballon d’Or dengan jumlah yang sama.

“Saya amat bersyukur menerima penghormatan ini. Terima kasih rakan sepasukan, kelab, pengurusan dan juga penyokong,” ujarnya.

Pengurus England, Sarina Wiegman memenangi anugerah jurulatih terbaik pasukan wanita selepas membimbing pasukannya menjuarai Kejohanan Eropah buat kali ketiga berturut-turut pada musim panas.

Bagi kategori penjaga gol, Gianluigi Donnarumma dari Itali yang menyertai Manchester City selepas menjuarai Liga Juara-Juara bersama PSG, memenangi anugerah lelaki manakala Hannah Hampton dari Chelsea yang menjuarai Euro 2025 memenangi kategori wanita.

Santiago Montiel meraih Anugerah Puskas bagi gol terbaik tahun ini hasil jaringan gunting dari luar kotak penalti ketika mewakili Independiente menentang Independiente Rivadavia dalam liga utama Argentina.

Anugerah Marta pula dimenangi Lizbeth Ovalle menerusi jaringan sepakan kala jengking bersama Tigres ketika menentang Guadalajara dalam perlawanan liga Mexico.

Pemenang dipilih berdasarkan undian gabungan peminat, wakil media, kapten serta jurulatih pasukan kebangsaan bagi prestasi antara 11 Ogos 2024 hingga 2 Ogos 2025. – AFP/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN