Dalam hidup, bolehkah kita benar-benar melupakan? - Utusan Malaysia

Dalam hidup, bolehkah kita benar-benar melupakan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Baik Malin Kundang di Indonesia, Si Tanggang di Malaysia hingga Prodigal Son dalam Injil, masing-masing memiliki fungsi didaktik tentang pentingnya untuk pulang dan berbakti kepada orang tua. Ceritanya seputar bagaimana seorang anak lupa diri setelah merantau, hidup senang lenang hingga akhirnya alam menghukum kelalaian mereka. Prodigal Son mungkin memiliki penutup lebih lunak berbanding Malin Kundang dan Si Tanggang yang keras; seorang anak disumpah menjadi batu kerana derhaka.

Joko Anwar yang selalu dikenali dengan naskhah seram kali ini menghadirkan Lagenda Kelam Malin Kundang (LKMK) dengan posisi sebagai penulis. Joko menyerahkan tanggungjawab menghidupkan naskhah itu ke layar kepada sutradara baru (maksud baru di sini dalam konteks khalayak penonton Malaysia) iaitu Aline Djayasukmana dan Rafki Hidayat.

Bagi sebuah filem yang diinspirasikan daripada dongeng yang sudah didengar sejak kecil, Joko, Aline dan Rafki perlu menunjukkan kepada kita apa lagi yang berbeza supaya berbaloi ke wayang membeli tiket. Kalau begitu-begitu sahaja ceritanya, sama seperti buku himpunan koleksi kisah dongeng zaman sekolah rendah, tidak mengapalah.

Bagaimanapun, sangkaan saya mujur sahaja meleset kerana trio itu nampaknya cukup cekap dalam memberi intepretasi semula Malin Kundang dalam latar dekad ini dengan kerencaman padat dan mengena.

LKMK mengikat penonton dari awal, sama-sama berkerut dahi cuba memahami apa dalam gelojak fikiran Alif (Rio Dewanto) yang hilang ingatan akibat kemalangan. Saya harus berikan pujian tentang bagaimana trio ini menjaga pace filem ini dengan sangat cerdik menyelinap persoalan demi persoalan yang semakin lama, semakin rumit untuk diteroka tapi tidak melelahkan.

Dalam Malin Kundang, anak derhaka disumpah menjadi batu. LKMK memberikan simbol-simbol itu tentang bagaimana Alif lebih selesa melukis di atas batu kerana semakin kecil lukisan, semakin ketara bahawa ada perkara yang ingin disembunyikan.

Bagaimanapun dalam LKMK, sejak awal filem ini, Alif sudah pun menjadi batu. Lelaki itu dingin, sukar didekati, hilang sikap-sikap romantis kepada isteri, ditakuti anak yang sampai detik itu tidak pasti mengapa Alif mengamuk jerit-jerit di dalam bilik. Anaknya mungkin nampak manja, baik, tapi dia menyembunyikan rasa menerusi lukisannya yang penuh ngeri dan hitam itu. Dia mewarsi bakat Alif yang perahsia.

Ingatan tiada, tapi tubuh ingat semua

Bagaimanapun, LKMK sebenarnya mencerna sesuatu yang lebih mustahak iaitu persoalan adakah kita benar-benar boleh melupakan? Dalam tubuh manusia, otak bukanlah satu-satunya yang dikurniakan tugas untuk mengingat. Walaupun ingatan dan fikiran kita memudar terhadap sesuatu perkara, namun darah yang mengalir, daging di setiap tubuh kita tidak benar-benar boleh melupakan.

Alif buntu mengingat siapa ibunya, tapi ‘tubuhnya’ akan berbicara, badannya ingat hingga membuatnya muntah, dadanya seperti dirobek, teresak menangis di atas sofa walau dia sendiri tidak tahu mengapa. Para neurologis menjelaskan saraf tubuh kita akan cuba menjejak interaksi antara amigdala, bahagian otak dan sistem tubuh. Tubuh kita akan berbicara terlebih dahulu kepada kita walaupun fikir-fikir kita belum tentu boleh mencerna apakah kejadiannya, selalunya lahir daripada trauma.

Kita tahu ada yang tidak kena, kekakuan dan keanehan dalam keluarga Alif apa lagi setelah kehadiran ‘ibu’. Setiap pelakon LKMK berjaya menghidupkan kekakuan itu walaupun dalam adegan hangat seperti berjoget bahagia di dapur. Semakin kita menghurai persoalan LKMK dan pencarian siapa ibu sebenar Alif. Filem ini membawa kita kembara dari sebuah rumah mewah, berbilik lebar, berhalaman luas kepada lorong-lorong Jakarta, sempit, berlumur hingga ke sebuah lagi rumah rapuh, hampir roboh, tidak berbilik.

Peralihan visual ini menunjukkan kepada kita semakin buruk tempat yang ingin Alif tuju dalam fikirannya. Kita faham dan bersimpati setiap situasi yang akhirnya membuat Alif menjadi batu. Mengapa dia akhirnya memilih pergi meninggalkan rumah kecil di hutan menyimpan terlalu banyak duka yang dalam.

Dari garapan dan persembahan ekstetika, Malam Kelam Malin Kundang terasa sangat Joko Anwar sekali. Saya tidak pasti adakah perasaan ini sesuatu yang baik apabila mengenang dua pengarahnya bukanlah seorang Joko. Apapun, sangat menyenangkan sekali duduk di dalam panggung menyaksikan satu lagi filem Indonesia yang cemerlang sekali.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN