Cukup berbudaya Malaysiakah kita? - Utusan Malaysia

Cukup berbudaya Malaysiakah kita?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN ini genap sedekad drama fenomena Korea Selatan, Reply 1998 bersiaran. Poklip percaya, peminat drama negara tersebut pasti sudah menonton naskhah yang cukup popular ini.

Poklip sendiri, sejujurnya sudah menonton lebih tiga kali drama ini. Bukan hanya kerana jalan cerita tetapi begitu dekatnya kita dengan ‘kehidupan’ lima keluarga pelbagai generasi dan karenah itu.
Reply 1998 tidak membuat kita berfikir terlalu dalam, tidak serabut dan tidak bersimpang siur. Jalan ceritanya terus walau ada plot twist yang menghiburkan. Ringan, bersahaja dan menyenangkan.

Drama itu sebenarnya sama dekat dengan naskhah Wan Hasliza, Kampung People yang juga mencetuskan fenomena tersendiri. Kisah masyarakat yang tidak menyerabutkan kepala otak kita tatkala menonton.
Cuma apa perbezaan antara dua drama itu? Bagi Poklip, budaya yang dinaratifkan sebagai satu elemen super mendekatkan kita dengan warisan negara tertentu. Lihat bagaimana dekatnya kita dengan budaya Korea.

Menurut laporan Korea Foundation 2023, gelombang Hallyu merangkumi lebih 225 juta peminat di seluruh dunia dan antara pendorongnya ialah konsistensi mereka mengekalkan budaya dalam setiap karya, tanpa perlu disogok atau dipaksa.

Sedangkan di sini, walaupun kita hidup dalam antara negara paling kaya budaya di Asia, rasanya jarang pemain industri kreatif meletakkan budaya sebagai nadi utama penceritaan. Kita mungkin lebih sibuk mengejar trend dan rating.

Bayangkan makanan, pakaian malah upacara keagamaan termasuk pengebumian mereka pun kita sudah faham dan tahu tatacaranya hanya berdasarkan pemerhatian kita menonton drama atau filem mereka.

Manakala kalau dalam drama kita, hidangan pagi adalah roti bakar disapu marjerin dan jus oren. Itu kalau kehidupan T20. Kalau B40, buatlah adegan beli nasi lemak tepi jalan sambil borak borak kosong.Budaya kita hanya dari pakaian dan kehidupan kampung. Tidakkah ada adegan masak rendang dari awal, lengkap dengan lesung batu dan menumis. Bukan sekadar buka kuali dan rendang sudah siap?

Itu baru bercakap soal Korea Selatan. Belum lagi kita kupas budaya Jepun sering mempamerkan ritual minum teh, sekolah, istiadat keluarga. Apatah lagi India, upacara perkahwinan mereka sahaja sudah menjadi jenama global.

Tidak perlu pergi jauh, Indonesia sendiri. Sudah ke depan dengan pelbagai naskhah memartabat budaya mereka. Filem seram tetapi tetap disulam dengan pelbagai elemen seni dan budaya.

Jarang sekali sebenarnya naskhah kita mengangkat budaya Malaysia tanpa perlu try hard. Maksudnya, bagaimana kita menghidang makan, pelbagai upacara perayaan dan pelbagai lagi aktiviti kebudayaan yang boleh ditonjolkan.

Lihat bagaimana berjaya drama Bon Appétit, Your Majesty yang sememangnya mengetengahkan budaya makanan tradisional dengan sentuhan moden. Sampai ke Sri Lanka pun sudah tahu hidangan diraja.

Bayangkan kalau Malaysia berani membuat drama dengan dna Malaysia yang sebenar. Karya yang benar-benar menunjukkan bagaimana orang Malaysia makan, bercakap, bergaduh, berkahwin, meminang, berpantang, berkabung, bertahlil dan beraya.

Poklip percaya, kalau kita mula menormalisasikan budaya sendiri dalam dunia seni dan hiburan tanpa paksaan, kita juga mampu menjadi soft power serantau merentasi sepelusuk global.
Soalnya, adakah kita berani? Ini bukan sahaja soal penerbit, tetapi anda sebagai penonton juga. Adakah kita sudah bersedia?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN