GEORGE TOWN: Cemburu dipercayai menjadi punca seorang lelaki bertindak di luar kewarasan apabila sanggup membunuh dan menyimpan mayat isterinya di dalam bilik selama empat hari dalam kejadian yang berlaku di Seberang Jaya, beberapa hari lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, kesimpulan awal itu dibuat susulan soal siasat yang dijalankan terhadap suspek yang berusia 28 tahun selepas lelaki tersebut ditahan.
Katanya, ketika ini, suspek yang juga seorang penganggur masih direman untuk tempoh seminggu bermula semalam bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Kita tidak tolak kemungkinan bahawa kejadian itu berlaku disebabkan perasaan cemburu suspek terhadap mangsa. Siasatan juga mendapati, setakat ini, suspek tidak mempunyai sebarang rekod masalah kesihatan,” katanya ketika dihubungi di sini.
Tragedi menyayat hati itu terbongkar selepas suspek mengaku membunuh dan menyimpan mayat isterinya yang berusia 44 tahun di dalam bilik tidur mereka selama empat hari sebelum tampil menyerah diri di balai polis berhampiran Seberang Jaya, pagi kelmarin.
Ketika dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) semalam, suspek bagaimanapun dikatakan sempat meminta maaf kepada bapa mentuanya di atas perbuatan berkenaan.-UTUSAN










