Campur tangan Kabinet ancam kebebasan Parlimen

Campur tangan Kabinet ancam kebebasan Parlimen

RONALD KIANDEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Jemaah Menteri merujuk Ahli Parlimen Kota Bharu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mencetuskan persoalan serius mengenai doktrin pengasingan kuasa antara Eksekutif dan Legislatif, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kebebasan Parlimen.

Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, tindakan Kabinet menentukan langkah terhadap seorang Ahli Parlimen dilihat sebagai campur tangan terhadap urusan dalaman Dewan. 

Kata Ahli Parlimen Beluran itu, sebarang tindakan tatatertib sepatutnya diputuskan Dewan Rakyat sendiri dan berada sepenuhnya dalam bidang kuasa Parlimen, bukannya Eksekutif.

“Tindakan Kabinet membuat keputusan berhubung tatatertib Ahli Parlimen seolah-olah memperlihatkan campur tangan Eksekutif dalam urusan dalaman Dewan sedangkan perkara itu seharusnya berada dalam bidang kuasa Parlimen sepenuhnya.

“Seperti pihak kami bahaskan (pada) Khamis lalu, usul tindakan terhadap mana-mana ahli perlu diputuskan oleh dewan bukan melalui usul kerajaan. Mana doktrin pengasingan kuasa?,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mempersoalkan tindakan Kabinet agar penggantungannya dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung kenyataan insiden di Masjid Rusila melibatkan pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Mengulas dakwaan bahawa tindakan seumpama itu pernah dibuat melalui usul kerajaan sebelum ini dan dianggap sebagai satu precedent atau rujukan, Ronald menegaskan kesilapan lalu tidak wajar dijadikan sandaran untuk membenarkan pelanggaran prinsip Perlembagaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN