BNM tetap dasar FTFC, elak institusi kewangan salah guna kuasa - Utusan Malaysia

BNM tetap dasar FTFC, elak institusi kewangan salah guna kuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) menetapkan garis panduan melalui Dokumen Dasar Layanan Adil kepada Pengguna Kewangan (FTFC) bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa oleh institusi kewangan.

Kementerian Kewangan berkata, kerajaan memandang serius isu berkaitan amalan pihak penyedia perkhidmatan kewangan (PPK), termasuk bank-bank komersial bagi memastikan layanan yang adil dan telus bagi pengguna kewangan.

“Dokumen dasar itu menetapkan keperluan dan panduan untuk PPK melayan pengguna kewangan secara adil dengan mengamalkan tingkah laku yang bertanggungjawab dan profesional,” kata kementerian menerusi jawapan bertulis dalam laman web Parlimen, semalam.

Kementerian menjawab soalan Senator Datuk C. Sivaraj sama ada bank-bank komersial dibenarkan menutup atau menamatkan akaun syarikat yang tidak terlibat dengan siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (Amla).

Berhubung penutupan akaun individu atau syarikat, kementerian turut berkata, bank-bank komersial berhak menamatkan hubungan perbankan dengan pelanggan berdasarkan terma dan syarat perjanjian akaun.

Namun katanya, tindakan ini mesti mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh BNM, berdasarkan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002.

Mengulas lanjut, Kementerian Kewangan turut berkata, secara amnya, dalam proses pengendalian akaun bank yang ditutup, institusi kewangan disaran mengeluarkan notis bertulis kepada pemegang akaun yang terjejas dalam tempoh yang munasabah.

“Notis ini disertakan dengan sebab penutupan akaun, contohnya pelanggaran terma dan syarat perjanjian akaun tanpa mendedahkan maklumat sensitif siasatan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN