Jarang Cik Bunga dengar gosip mengenai pelakon, Shaza Bae. Tetapi kebelakangan ini nama dia menjadi buah mulut di balik tabir.
Bukan soal lakonan, bukan juga kisah busana seksi atau apa, tetapi cerita kecil yang berlegar tentang sikap.
Kononnya, Shaza, kalau dengan bakat-bakat baharu atau dengan orang belakang tabir yang lebih muda, cuma pandangan mata saja yang singgah. Senyuman entah ke mana, yang sampai cuma side eyes. Macam memilih bulu pun ada.
Cik Bunga dengar cerita ini pun terkejut juga. Bukanlah hendak menambah api. Cuma hairan, benarkah begitu? Kalau sudah jadi begitu, tentulah ada yang berbisik, “Kenapa ya, macam dia pelakon sudah bertaraf A?”
Soalan itu melayang tanpa jawapan. Sebab setahu Cik Bunga, kelas seseorang bukan diukur pada gelaran, apatah lagi sebelum trofi berprestij benar-benar melekat berada di rak.
Yang lebih menarik, ramai juga mengingatkan, artis yang sudah menang anugerah pun masih ramah. Mereka menyapa, mereka menegur, mereka tahu satu senyuman boleh buat hari orang lain jadi lebih ringan.
Itu yang orang panggil aura, bukan datang daripada attitude, tetapi empati.
Cik Bunga percaya, setiap orang ada hari baik dan hari kurang manis. Mungkin letih, mungkin tertekan. Namun, di industri yang dibina oleh ramai tangan, sikap kecil boleh jadi cerita besar.
Bukan untuk menghukum, cuma sebagai peringatan lembut bahawa bakat itu anugerah, adab itu pilihan.
Kalau benar Shaza ada sikap begitu, Cik Bunga harap dia perlahan-lahan ubahlah. Cuma, Cik Bunga harap hal ini tidak benarlah.-UTUSAN










