PETALING JAYA: Betamek Berhad meraih kontrak jangka panjang bernilai RM176 juta bagi membekalkan komponen elektronik untuk model kenderaan baharu Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua), sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat dalam ekosistem elektronik automotif negara.
Menurut makluman kepada Bursa, kontrak itu diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, Betamek Electronics (M) Sdn. Bhd., susulan penerimaan Surat Pelantikan daripada Perodua pada 16 Disember 2025.
Tempoh kontrak adalah selama enam tahun dan pembekalan komponen bermula pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026.
Sepanjang tempoh tersebut, projek berkenaan dijangka menjana hasil kira-kira RM176 juta kepada kumpulan.
Betamek berkata, kontrak jangka panjang itu meningkatkan keterlihatan perancangan pengeluaran, menyokong ekonomi skala serta mengukuhkan trajektori pendapatan syarikat, selari dengan pembangunan model baharu Perodua yang melibatkan penggunaan elektronik dan sistem bersepadu yang lebih canggih.
“Kontrak itu diperoleh ketika Perodua terus mendominasi pasaran automotif tempatan dengan pegangan pasaran 44 peratus dalam tempoh 10 bulan pertama 2025, hasil jualan sebanyak 289,210 kenderaan.
“Momentum tersebut dijangka meningkatkan permintaan terhadap kandungan elektronik bernilai tinggi dalam kenderaan nasional,” katanya.
Pengarah Eksekutif Betamek, Muhammad Fauzi Abd. Ghani berkata, pelantikan oleh Perodua mencerminkan tahap kepercayaan yang dibina hasil kerjasama jangka panjang antara kedua-dua pihak.
“Kontrak berkenaan mengukuhkan keterlihatan pengeluaran jangka panjang Betamek dan menegaskan peranan syarikat sebagai rakan strategik utama dalam penyediaan elektronik automotif di Malaysia.
“Dari segi risiko, Betamek memaklumkan cabaran utama adalah memastikan pematuhan spesifikasi teknikal, kualiti produk dan jadual penghantaran yang ditetapkan pelanggan, namun langkah mitigasi telah dilaksanakan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan kontrak,” katanya.
Syarikat turut menjelaskan bahawa tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam kontrak berkenaan.
Lembaga pengarah berpandangan kontrak tersebut merupakan sebahagian daripada urusan biasa perniagaan dan selari dengan kepentingan terbaik kumpulan.
Dari sudut kewangan, kontrak bernilai RM176 juta itu dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih Betamek sepanjang tempoh kontrak tanpa menjejaskan modal saham atau pegangan pemegang saham utama syarikat. – UTUSAN











