Berpoligami tiga isteri, keliru giliran bermalam
SOALAN
Saya mengamalkan poligami. Ada tiga isteri. Minta tolong jelaskan keadaan saya yang keliru daripada segi giliran bermalam. Adakah saya perlu buat keputusan mengikut kelapangan waktu atau minta isteri-isteri saya berbincang? Adakah saya berdosa jika tidak bermalam dengan salah seorang daripada isteri?
Suami keliru
Terengganu
JAWAPAN
Adil adalah dituntut dalam berpoligami termasuk pembahagian giliran bermalam bersama isteri-isteri, namun sekiranya terdapat ketidakadilan mohon maaflah kepada isteri-isteri anda. Jangan menyakiti hati mereka.
Nasihatkan individu suka cakap perkataan kesat
SOALAN
Saya banyak mendengar umat Islam melemparkan kata-kata kesat dengan mengherdik atau menggunakan perkataan yang menyakitkan hati ketika sedang marah. Apa kita perlu buat ketika berdepan dengan orang seperti ini?
Fahmy
Kuala Lumpur
JAWAPAN
Keadaan yang terbaik adalah memaafkan mereka kerana ia membawa kepada taqwa. Namun tidak salah menasihati mereka dengan baik dan berbuat baik kepada mereka. Semoga dengan perbuatan yang baik itu, hati mereka terbuka untuk mengeluarkan ayat yang baik-baik.
Pinang terus wanita yang berkenan dijadikan isteri
SOALAN
Apakah amalan yang disyariatkan Islam jika kita ingin menyunting gadis untuk dijadikan isteri?
Jika kita ingin berkenalan pula, Islam tidak mengizinkan, sedangkan wanita ini kuat mengamalkan ajaran Islam?
Fitri
Kuantan, Pahang
JAWAPAN
Kalau sudah berkenan kepada seorang wanita hantarlah wakil untuk meminangnya dan menyatakan hasrat tuan. Namun tidak salah untuk meminang secara bersendiri. – UTUSAN
Orang ramai boleh mengemukakan soalan kepada Ustaz Fauwaz Fadzil dengan menghantar e-mel kepada [email protected]










