TELUK INTAN: Kayu palet yang terbuang menjadi sumber rezeki kepada Amar Tasykin Mohd. Basari, 37, apabila ia dijadikan perabot dan barangan kraftangan berkualiti tinggi.
Bermula sebagai hobi sejak 2017, bekas pengurus tapak projek perumahan dan ladang ternakan haiwan di Myanmar itu bijak mengetahui nilai komersial kayu palet yang tahan lama, keras dan mudah dibentuk menjadi produk yang mempunyai nilai estetika tersendiri dan berharga tinggi.
“Saya bermula di rumah di Langkap sekadar hobi kerana masih bekerja pada masa itu, namun tidak menyangka ia mendapat permintaan yang tinggi pelanggan dari seluruh negara termasuk dari Johor, Kelantan dan Kedah.
“Lama kelamaan usaha ini melebihi pendapatan saya sebagai pengurus tapak projek perumahan menyebabkan saya mengambil keputusan menjadikan ia sebagai sumber rezeki sepenuh masa,” katanya ketika ditemui di Amareyka Enterprise di Taman Industri Ringan, Langkap di sini.
Katanya, dia bermula dengan modal hanya RM500 untuk membeli barangan keperluan asas bagi menghasilkan produk perabot dan kraftangan seperti gergaji, paku dan penukul.
Menurutnya, produknya seperti meja makan, kerusi, almari pakaian, kabinet dapur dan lampu meja bermula dengan harga RM10 sehingga mencecah ribuan ringgit.
Katanya, selain kayu palet atau pinewood, dia turut menggunakan kayu pokok getah yang ditebang untuk penanaman semula.
“Saya tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan kayu palet terbuang kerana kebanyakkan pemaju sektor pembinaan tidak menggunakannya selepas projek mereka siap,” katanya.
Amar Tasykin berkata, Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) banyak membantunya dengan menghasilkan video yang dimuatkan dalam media sosial Facebook dan TikTok mengenai produknya membuatkan perniagaannya semakin dikenali.
Katanya, pengacara bagi video tersebut merupakan pelakon dan pengacara popular yang memberikan kelebihan kepadanya selain STeP banyak membantu terlibat dalam ekspo dan pameran sekitar negeri.
“Saya berbangga kerana kraftangan saya turut ditempah agensi kerajaan negeri terutama dengan ukiran Menara Condong dan burung bangau yang menjadi identiti pelancongan bertaraf antarabangsa di daerah ini,” katanya.
Perkembangan positif itu selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030 yang memberi tumpuan kepada usaha membangunkan Hilir Perak dengan tumpuan utama pembuatan, perdagangan, perkhidmatan dan pelancongan.
Inisiatif tersebut turut menepati Flagship Keempat pelan berkenaan iaitu Koridor TVET Malaysia dan Flagship Kelima Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat yang menjadi tunjang kepada visi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam membawa negeri ke arah kemajuan menyeluruh berteraskan kemapanan dan kesejahteraan rakyat.
Dibantu isteri, Norafiqah Mohamed Zohomi, 34, dia mampu menjana pendapatan kasar mencecah RM30,000 sebulan dengan permintaan pelanggan yang konsisten.
Katanya, orang ramai mula menyedari nilai kayu palet yang dahulunya dibuang begitu sahaja dan mula datang ke premisnya untuk belajar menghasilkan perabot di rumah dengan kos yang minimum.
“Malah, rekaan perabot dan kraftangan berasaskan kayu ini mempunyai ciri-ciri klasik dengan gabungan elemen moden yang memukau pandangan sesiapa sahaja,” katanya.-UTUSAN










