Berbaloikah sebuah sekuel? - Utusan Malaysia

Berbaloikah sebuah sekuel?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POKLIP sebenarnya sangat teruja apabila mengetahui pihak KRU Studios dan 8 Bit Studio bakal bekerjasama menghasilkan sekuel filem popular, Duyung yang bakal ditayangkan minggu depan.

Ketika itu, pelbagai reaksi yang tercetus di media sosial. Rata-rata peminat juga tidak sabar. Mana tidaknya, Duyung yang ditayangkan pada 2008 akhirnya kembali membuat kemunculan dengan nafas segar selari era gen z sekarang.

Namun sayang seribu kali sayang, baru tayang trailer, Duyung: Legenda Aurora sudah ‘diherdik’, dikecam dan ‘disampahkan’ gara-gara pemilihan kostum yang dikatakan terlalu murah untuk tahun 2025.

Apatah lagi, tinggal lima hari menjelang tahun baharu, filem yang ditunggu-tunggu itu dibebankan dengan harapan yang terlalu tinggi oleh peminat filem itu. 17 tahun tunggu sekuel kedua kan?

Pemilihan pelakon utama juga berbeza. Anna Jobling dipilih sebagai duyung dan Ayiel Ilham adalah anak kepada Jimmy dan Aspalela. Ingat lagu Aspalela yang pernah ‘menggila’ satu ketika dahulu?

Sebenarnya, Poklip juga serba salah untuk menulis soal ini tetapi pertanyaannya satu, berbaloikah sebuah sekuel dihasilkan? Terutama bila kita sedia maklum, pasti akan ada perbandingan besar antara dua filem itu.

17 tahun bezanya, yang lahir pada 2008 baru selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Di era ini, teknologi industri perfileman juga bukan calang-calang. Lambakan filem berkonsepkan duyung dan lautan juga pasti ada.

Jadi apabila dua produksi berani untuk mengambil risiko itu, ditambah pula dengan kepakaran sutradara legenda, Prof Madya Datuk Dr A Razak Mohaideen, sudah pasti penghasilan filemnya mega.

Namun itu semua tidak menjanjikan penghasilan filem berkualiti tinggi. Dalam pandangan yang tular di media sosial, rata-rata seolah-olah meletakkan bintang rendah kepada Duyung: Legenda Aurora.

Belum keluar panggung, poster awal sudah dijelikkan seolah-olah kita berada di tahun awal 2000-an. Dengan teknologi Kecerdasan Buatan (AI), ramai pengguna media sosial memuat naik poster baharu sebagai ‘garis panduan’ kepada produksi.

Belum cukup itu, di malam galanya kelmarin, sekali lagi tular, penggunaan video dengan watermark aplikasi AI (mungkin percuma) dipaparkan di layar tanpa segan silu. Siapa pengurus projek ini sebenarnya?
Ada juga yang cakap, filem ini seperti dibuat dalam keadaan tergesa-gesa. Serba serbi tidak cukup masak.

Poster yang dikecam juga kononnya sebuah gimik, tetapi mengapa tidak ditayangkan poster sebenar ketika malam gala kelmarin? Tidakkah ada sesuatu yang lompong? Atau itu juga sebuah gimik promosi?

Belum lagi yang dakwa, filem Duyung ada hak cipta yang cukup besar tetapi penghasilan filem layaknya projek tahun akhir pelajar perfileman. Mungkin terlalu kejam, apatah lagi ini filem sutradara hebat kan.

Terlalu banyak kecaman dan komen negatif yang dilayangkan di media sosial. Seolah-olah menjatuhkan kredibiliti filem Duyung itu sendiri. Jadi sekali lagi, berbaloikah sebuah sekuel dihasilkan?

Cuma saranan Poklip, kepada peminat filem tempatan beri peluang dan jangan terlalu menghentam sekadar mengikut kehangatan perdebatan di media sosial. Jika anda peminat filem Duyung, pergilah tonton.

Lagipula, barisan pelakon gred A dan popular pastinya menjanjikan sesuatu yang berbeza. Mana mungkin mereka mensia-siakan penglibatan beberapa pelakon ‘kelas atasan’ kan?

Malah, KRU Studios sendiri sebuah jenama yang cukup besar. Cuma Poklip tidak pasti adakah produksi sama yang menggengam trofi Video Muzik Terbaik, Anugerah Industri Muzik KE-24 baru-baru ini.

Akhir kalam, terpulang lah kepada anda. Berbaloi atau tidak.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN