PETALING JAYA: Pertubuhan Antarabangsa Al-Ain Malaysia (AIM) akan melancarkan Misi Bantuan Kecemasan Kemanusiaan ke Aceh, Indonesia bermula hari ini hingga 19 Disember susulan bencana banjir dan tanah runtuh yang melanda wilayah itu baru-baru ini.
AIM dalam kenyataannya memaklumkan, misi selama tujuh hari itu memfokuskan kepada penyediaan bantuan kritikal dan segera kepada penduduk terjejas termasuk 300 keluarga yang berdepan kesukaran akibat musibah tersebut.
Katanya, bantuan yang akan disalurkan merangkumi bekalan makanan asas, air bersih, pakaian, keperluan kebersihan diri, ubat-ubatan ringkas serta kit kesihatan awal selain bantuan logistik mengikut keperluan semasa.
“Wilayah Aceh Utara, Bener Meriah, Aceh Tengah, Pidie Jaya dan Bireuen dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan utama misi berikutan tahap kerosakan tinggi serta beberapa perkampungan yang masih terputus akses jalan darat akibat kejadian tersebut.
“Misi berkenaan akan digerakkan oleh pasukan seramai lima hingga tujuh sukarelawan melibatkan sukarelawan kebajikan, perubatan dan logistik diketuai Yang Dipertua AIM, Datuk Muhammad Zakaria yang juga merupakan penasihat misi,” katanya.
Menurut AIM, pelaksanaan misi itu akan dijalankan melalui kerjasama penuh dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan rakan kolaborasi di Aceh bagi memastikan bantuan diagihkan secara berkesan dan selamat kepada mangsa yang paling memerlukan.
Sehubungan itu, pihak media turut dijemput membuat liputan serta memberi ruang siaran bagi membantu menyebarkan maklumat mengenai usaha kemanusiaan tersebut sekali gus menggalakkan sokongan awam. – UTUSAN







