PETALING JAYA: Beberapa kawasan di ibu negara yang dilanda banjir kilat petang tadi kembali pulih selepas paras air dilaporkan surut dalam tempoh beberapa jam.
Terdahulu Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 6.55 petang sebelum mengerahkan pasukan dari dua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) ke lokasi terjejas.
Antara kawasan yang mengalami limpahan air termasuk Jalan Sentul Pasar, Taman Bahagia, Jalan Batu Bata, Titiwangsa Sentral, Jalan Haji Salleh, Sentul, Kampung Chubadak Dalam, Sentul serta Batu 2 ½, Jalan Ipoh.
Komander Operasi, Mohd. Hafizan Hassan berkata, keadaan kini kembali terkawal selepas air yang melimpah di jalan-jalan berkenaan sudah semakin surut.
“Banjir kilat yang berlaku tidak membabitkan mangsa mahupun kerosakan harta benda.
“Paras air telah surut dan anggota kami hanya menjalankan pemantauan susulan. Cuaca ketika ini juga hanya hujan renyai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, kesesakan luar biasa akibat hujan lebat melanda ibu kota sejak pukul 5 petang tadi khususnya di kawasan sekitar.
Hujan lebat selama kira-kira sejam itu menyebabkan beberapa kawasan utama dinaiki air dengan banjir kilat setinggi pinggang dilaporkan di Bulatan Pahang, Jalan Tun Razak dan kawasan berhampiran Pusat Dagangan Dunia (WTC Kuala Lumpur). – UTUSAN










