Awie pernah ‘buang’ Sembilu, Ziana ragu kecantikan - Utusan Malaysia

Awie pernah ‘buang’ Sembilu, Ziana ragu kecantikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JENAMA Sembilu memiliki kenangan istimewa dalam hati pengarah dan penerbit, Datuk Yusof Haslam. Pada 1995, Malaysia memiliki filem pecah panggung pertama, Sembilu II dengan kutipan RM6 juta. Sejak itu, Yusuf digelar The Six Million Dollar Man kerana menjadi penggiat seni pertama yang memperoleh kejayaan sebegitu.

Tuah Sembilu tidak hanya mengenai Yusof, malah para pelakonnya terus mencanak mendaki tangga populariti baik sebagai pelakon mahupun penyanyi. Dalam pertemuan bersama Utusan Malaysia, Yusof juga sesekali mengusik kenangan cinta lama antara pelakon utama filem itu Erra Fazira dan Datuk Awie yang berputik semasa di set penggambaran sebelum hubungan itu akhirnya kandas.

Sementara itu, dedah Yusof, sebenarnya Awie pada awalnya menolak untuk berlakon dalam Sembilu kerana menerima satu lagi tawaran lakonan daripada produksi dengan harga lebih lumayan. Bagaimanapun, seminggu kemudian, Awie datang menemui Yusof dan memeluknya kerana rasa bersama sebelum menyatakan kesediaan terlibat dalam projek Sembilu.

“Begitu juga dengan Ziana. Waktu itu dia tidak yakin berlakon kerana katanya kulitnya gelap, dia fikir dia tidak cantik. Tapi arwah bapanya dan saya yang yakinkan dia untuk ambil peluang dan cuba berlakon watak itu.

“Ingat lagi saya kata, ‘bagi aku kau cantik, seksi’. Sejak itu Awie, Erra dan Ziana masing-masing sudah seperti adik saya,” katanya.

Tambah Yusof, aura Sembilu sangat hebat apabila pihak stesen televisyen ketika itu siap menawarkan peluang Yusof menghadirkan naskhah itu dalam bentuk drama.

“Dua tahun kita buat drama itu di TV3. Itupun mereka minta sambung lagi, cukup empat tahun saya yang tolak.

“Saya kata ‘no, my money is enough’. Sebab walaupun rating bagus, tapi sudah tidak tahu nak buat apa. Asyik gaduh-gaduh lepas itu berbaik,” katanya.

Sementara itu, Yusof mengakui agak sentimental mengenang Sembilu kerana teringat rakan-rakan penggiat filem generasinya yang sudah pergi menghadap Illahi.

“Kalau diikutkan, rakan-rakan awal yang buat filem semuanya sudah pergi. Tinggal saya, A.Galak sahaja.

“Allah bagi usia yang panjang 71 tahun ini untuk saya terus berjuang dan buat lagi projek televisyen selagi saya sihat,” tambahnya.

Muzik pelengkap filem
Kini, selepas 30 tahun Sembilu ditayangkan, Yusof terkejut dan gembira apabila ada penganjur konsert, Ezuwan Ismail, mahu mengadakan konsert reunion menghimpunkan semula pelakon dan peminat filem itu menerusi Sembilu The Reunion Live In Concert di Axiata Arena, 7 Februari tahun hadapan.

Yusof tidak menafikan, bahawa lagu dan muzik dalam sesebuah filem sangat penting, ia mesti signifikan dan tidak boleh sekadar ‘tampal’ sahaja.

“Muzik yang kita letak dalam fiem perlu berkaitan dengan jalan ceritanya. Contohnya lagu Awie yang menjadi lagu latar adegan dia bawa motor, sampai pengunjung keluar air mata walaupun selepas keluar panggung sebab menyentuh perasaan,” katanya.

Antara lagu yang menjadi runut bunyi filem sembilu yang masih membekas hingga hari ini ialah Di Ambang Wati, Bersama Akhirnya, Halaman Asmara, Anggapan Mu dan Kekal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN