AS TURUN TARIF MALAYSIA KEPADA 19 PERATUS
1 OGOS 2025
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan penurunan kadar tarif ke atas barangan import dari Malaysia kepada 19 peratus berbanding 25 peratus yang diumumkan sebelum ini.
NFC DAPAT GANTI RUGI RM90 JUTA
18 JUN
Mahkamah Persekutuan memerintahkan Public Bank untuk membayar ganti rugi berjumlah RM90 juta kepada National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) dan empat yang lain kerana melanggar kontrak berkaitan kerahsiaan akaun bank mereka.
DUTA ENCLAVE KEKAL MILIK KERAJAAN
24 JUN
Tanah seluas 106.542 hektar di Jalan Duta dikenali sebagai Duta Enclave, kekal menjadi milik kerajaan selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan.
TAMAT SPEKULASI TIDAK PERCAYA PM
22 JULAI
Tiada sebarang usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibawa ke Dewan Rakyat. Ia sekali gus menamatkan spekulasi sebelum ini bahawa ada usaha ahli Parlimen untuk membawa usul tersebut bagi mendesak Anwar meletak jawatan.
THAILAND, KEMBOJA SETUJU DAMAI
28 JULAI
Thailand dan Kemboja mencapai kata sepakat berdamai dengan melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat susulan konflik sempadan yang berlaku di antara kedua-dua negara.
RM611 BILION UNTUK RMK13
31 JULAI
Malaysia memperuntukkan RM611 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang bagi menjayakan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan darjat hidup rakyat.
KUBUR ZARA QAIRINA DIARAH GALI SEMULA
9 OGOS
Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggali semula kubur pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang ditemukan meninggal dunia di sekolahnya bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan.
PESAWAT TUDM TERHEMPAS
21 OGOS
Sebuah pesawat pejuang F/A18D Hornet milik Tentera Diraja Malaysia (TUDM) terbakar dan terhempas ketika berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.
GEMPA BUMI GEGARKAN JOHOR
24 OGOS
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan kejadian gempa bumi dengan kekuatan 4.1 magnitud di beberapa daerah melibatkan Segamat, Kluang, Gemas dan Tampin.
INKUES ZARA QAIRINA BERMULA
3 SEPTEMBER

Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan memulakan tugasnya untuk merungkai pelbagai persoalan berkait dengan kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.
EPISOD PENEMPATAN KAMPUNG SUNGAI BARU selesai
12 SEPTEMBER
Selepas beberapa tahun berdepan ketidak tentuan nasib membabitkan isu pengusiran, penduduk Kampung Sungai Baru akhirnya dipindahkan secara berperingkat semalam dengan melibatkan 37 rumah dan 26 pemilikan.
HARGA RON 95 RM 1.99 SELITER
22 SEPTEMBER
Kerajaan memutuskan penurunan harga petrol RON95 pada kadar 1.99 seliter bagi warganegara Malaysia menerusi program Budi Madani RON95 (BUDI95) dan RM2.60 bagi bukan warganegara mulai 30 September ini.
PEMIMPIN GISBH BEBAS
7 NOVEMBER

Ketua Pegawai Eksekutif Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali bersama 12 lelaki lain dibebaskan selepas menjalani tahanan selama 13 bulan dan 20 hari di Kompleks Penjara Kajang. – UTUSAN










