Malaysian Craft Council dipilih Badan Penilai UNESCO - Utusan Malaysia

Malaysian Craft Council dipilih Badan Penilai UNESCO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan bukan kerajaan, Malaysian Craft Council (MCC) mencatat pencapaian membanggakan apabila dipilih sebagai anggota Badan Penilai di bawah Konvensyen UNESCO 2003, sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia di peringkat antarabangsa dalam usaha melindungi warisan budaya tidak ketara.

Pelantikan itu dibuat menerusi sistem undian dan melayakkan MCC menyertai badan berkenaan bagi tempoh 2026 hingga 2029 sebagai mekanisme Perlindungan Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO.

Setiausaha Kehormat MCC yang juga pelakon, Arja Lee atau Azharudin Ramli, 42, berkata, pemilihan tersebut merupakan satu pengiktirafan penting terhadap komitmen dan sumbangan Malaysia dalam memelihara serta memperkasa warisan budaya tidak ketara di peringkat global.

Menurut beliau, sebagai anggota Badan Penilai, MCC akan terlibat secara langsung dalam proses menilai pencalonan dan permohonan yang dikemukakan oleh negara-negara anggota, termasuk pencalonan ke Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO serta permohonan Bantuan Antarabangsa.

“Setiap penglibatan MCC akan dilaksanakan secara telus dan berpandukan garis panduan yang ditetapkan di bawah Konvensyen UNESCO 2003,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan, peranan tersebut akan dilaksanakan secara bebas dan profesional selaras dengan prinsip ketelusan, keadilan dan integriti yang digariskan oleh UNESCO.

Penyertaan MCC dalam badan penilaian berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam menyokong usaha perlindungan warisan budaya tidak ketara dunia yang berasaskan komuniti dan kelestarian.

Pendekatan itu juga sejajar dengan matlamat UNESCO yang menekankan kepentingan warisan sebagai amalan budaya yang terus hidup, dipelihara dan berkembang dalam masyarakat.

Dalam pada itu, MCC merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Antara Kerajaan UNESCO serta semua Negara Anggota atas kepercayaan yang diberikan.

Penghargaan turut ditujukan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Suruhanjaya Kebangsaan Malaysia untuk UNESCO, Perwakilan Tetap Malaysia ke UNESCO serta Kementerian Luar Negeri Malaysia atas sokongan dan kerjasama berterusan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN