Angkat elemen pendidikan untuk perkukuh integriti - bekas KP SPRM

Angkat elemen pendidikan untuk perkukuh integriti – bekas KP SPRM

DZULKIFLI Ahmad (kiri) ketika merasmikan Karnival Sukan Orang Kita di SK Permatang Buloh, Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/ISWAN SHAFIQ ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR : Elemen pendidikan termasuk kepentingan untuk melakukan pencegahan awal perlu diangkat bagi memastikan integriti semua pihak termasuk penjawat awam dapat terus diperkukuhkan.

Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, kesemua elemen itu perlu diberi penekanan terlebih dahulu sebelum sesuatu penguatkuasaan itu dibuat.

“Sebab itulah masa zaman saya dahulu (sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM), kalau kita lihat, banyak program kemasyarakatan (berbentuk pendidikan) telah dilaksanakan.

“Kita buat program Ziarah Kasih di Baling (Kedah), di Kelantan, di Negeri Sembilan, di Sabah. Ini program-program yang kita nak masyarakat bersama-sama dengan SPRM untuk memastikan mereka dapat memainkan peranan masing-masing dalam memastikan negara kita bebas daripada rasuah.

“Dalam hal ini, (untuk mencegah rasuah) bukan setakat penguatkuasaan dan untuk membuat orang rasa takut, tidak. Yang penting di sini ialah, kita nak berikan perasaan hormat kepada undang-undang dan hormat kepada agensi penguatkuasaan itu sendiri,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Presiden Akademi Anti Penggubahan Wang Haram dan Anti Rasuah (AMLAC) berkata, agenda antirasuah juga perlu ‘dirakyatkan’ agar rakyat menolak rasuah secara total.

“Jadi, kalau rakyat semua tolak rasuah, insya-Allah negara kita akan bebas (daripada rasuah). Ahli politik pun tidak akan berani untuk terlibat dengan rasuah kalau masyarakat mahu mereka bersih daripada rasuah.

“Kesedaran itu perlu dan amat penting bagi memastikan negara ini dapat dibersihkan daripada elemen-elemen rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Itu sahaja,” ujar beliau.

Terdahulu, beliau hadir merasmikan Karnival Sukan Orang Kita anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Buloh dengan kerjasama Pejabat Tan Sri Dzulkifli atau TSDZ yang dihadiri oleh lebih 1,000 peserta, hari ini.

Mengulas mengenai karnival yang menghimpunkan pelbagai acara termasuk bola sepak serta beberapa sukan tradisional itu pula, Dzulkifli berkata, pihaknya bercadang untuk menjadikan karnival berkenaan sebagai acara tahunan mulai tahun depan.

“Mungkin kita akan jadikan karnival ini sebagai program komuniti tahunan, kemungkinan (diadakan) di tempat yang berasingan atau di sini juga atau sekitar Tasek Gelugor ini, insya-Allah,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN