Anggap Chef Juna cuma bergurau, saya tidak sakit hati - Vicha - Utusan Malaysia

Anggap Chef Juna cuma bergurau, saya tidak sakit hati – Vicha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelawak dan selebriti media sosial kelahiran Indonesia, Vicha, mengakui tidak berasa tersinggung dengan sindiran tajam juri, Chef Juna Rorimpandey, ketika sesi uji bakat program MasterChef Indonesia musim ke-13.

Menurut Vicha, dia juga sedar bahawa potongan video sesi uji bakatnya juga telah mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial, khususnya dalam kalangan rakyat Malaysia.

Jelas Vicha, situasi sebenar ketika penggambaran adalah jauh berbeza daripada apa yang dipaparkan melalui klip pendek yang tular di TikTok dan platform lain.

“Sebenarnya saya tak tersinggung sebab masa uji bakat itu, selepas rakaman, kami hanya bergurau saja. Video yang tular itu bukan keseluruhan episod, ia hanya potongan bahagian tertentu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Jelasnya, sindiran Chef Juna itu disifatkan sebagai gurauan yang merupakan sebahagian daripada elemen hiburan dalam program realiti masakan tersebut.

“Saya anggap itu sebagai hiburan. Dalam rancangan seperti ini memang ada elemen tegas, gurauan dan serius. Jadi saya memang okey saja,” ujarnya.

Bagaimanapun, Vicha mengakui terkejut apabila membaca komen-komen netizen yang menganggap sindiran tersebut sebagai keterlaluan, sekali gus mencetuskan perdebatan sehingga melibatkan sentimen rakyat Malaysia.

“Bila saya baca komen orang ramai, saya jadi terfikir mungkin gurauan itu dianggap kasar atau disalah faham. Saya pun terkejut bila tahu rakyat Malaysia perasan perkara itu selepas tengok balik video berkenaan,” katanya.

Tambah Vicha, sebelum video tersebut tular, dia tidak merasakan sebarang isu, namun persepsi berubah apabila klip itu ditonton tanpa konteks penuh.

“Mungkin ada yang sangka seolah-olah Chef Juna menghina, tapi sebenarnya saya okey saja. Tak ada rasa tersinggung langsung.

“Dalam dunia hiburan, memang kena ada elemen seperti itu supaya tak ‘flat’ dan jadi hiburan untuk penonton. Jadi bagi saya, itu perkara biasa,” ujarnya.

Dalam masa sama, Vicha meluahkan rasa terharu dan terkejut dengan sokongan luar biasa daripada rakyat Malaysia terhadap dirinya.

“Alhamdulillah, saya memang terkejut. Tak sangka rakyat Malaysia sokong saya sampai macam itu. Mereka doakan dan beri sokongan kepada saya di MasterChef,” katanya.

Menurutnya, suaminya turut memaklumkan bahawa video berkenaan memasuki FYP di TikTok dan menerima puluhan ribu komen, majoritinya daripada rakyat Malaysia.

“Hampir semua komen itu daripada rakyat Malaysia yang sokong saya. Mungkin kerana potongan video itu nampak sedikit mengelirukan, tapi sebenarnya saya tak ada masalah apa-apa,” jelasnya.

Selain itu, Vicha turut menegaskan bahawa dia tidak menyimpan sebarang perasaan negatif terhadap Chef Juna dan menyifatkan juri tersebut sebagai individu yang baik dan menyokong peserta.

“Saya tak sakit hati dengan Chef Juna sebab itu memang kerja dia. Gurauan dia memang agak kasar, tapi sebenarnya dia seorang yang sangat baik dan sangat ‘supportive’,” katanya.

Dalam masa yang sama, Vicha turut terkejut apabila mengetahui video tular itu telah diturunkan oleh pihak MasterChef Indonesia, dipercayai susulan terlalu banyak reaksi negatif sehingga membawa kepada kecaman terhadap Chef Juna.

“Saya cuma nak ucap terima kasih banyak-banyak kepada rakyat Malaysia kerana masih menyokong saya walaupun saya hanya menyertai MasterChef di Indonesia,” katanya.

Mengulas penyertaannya dalam program itu, Vicha berkata niatnya sejak awal adalah untuk memperkenalkan masakan Malaysia kepada masyarakat Indonesia.

“Video pertama yang saya hantar ialah masakan asam pedas ikan jenahak, masakan Malaysia. Mereka suka sebab saya bawa makanan Malaysia ke Indonesia. Memang niat saya untuk kenalkan masakan Malaysia di sana,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN