Aktiviti sukan anak muda perlu diperkasa, buka ruang pembangunan luar akademik

Aktiviti sukan anak muda perlu diperkasa, buka ruang pembangunan luar akademik

MOHD. Radzi Md. Jidin (tengah) bersama pengurusan Lestari Vipers FC dan pemain-pemain pasukan bola sepak pada Liga Vipers Super Sunday di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penglibatan anak-anak dalam aktiviti sukan perlu diperkasa demi membina komuniti yang sihat dan bersatu.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, untuk mencapai tujuan itu, penganjuran pertandingan sukan melibatkan kanak-kanak adalah usaha penting yang membuka ruang pembangunan menyeluruh di luar bilik darjah.

Bekas Menteri Pendidikan itu berkata, penyertaan anak-anak dalam program sebegini bukan sahaja meningkatkan kecergasan fizikal, malah membentuk kerjasama, disiplin serta hubungan baik dalam kalangan rakan sebaya.

“Saya ucapkan tahniah kepada penganjur Vipers Super Sunday kerana memberi peluang kepada anak-anak kita terlibat dalam pertandingan liga bola sepak seperti ini.

“Ia menambah ruang pembangunan mereka di luar bidang akademik, dan inilah yang membantu pembentukan masyarakat yang lebih menyeluruh,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan hadiah kepada pasukan bola sepak bawah 16 tahun yang menyertai Liga Bola Sepak Vipers Super Sunday anjuran Lestari Vipers FC dengan pasukan Red Phanter dari Putrajaya muncul juara dan menjulang Piala YB Radzi Jidin.

JUARA Vipers Super Sunday bawah 16 tahun dimenangi pasukan Red Phanter.

Dalam pada itu, Mohd. Radzi berkata, secara umum fasiliti sedia ada di Putrajaya berada dalam keadaan baik, namun terdapat beberapa sukan yang masih memerlukan penambahbaikan.

Katanya, beberapa persatuan seperti bola jaring, hoki dan persatuan pickleball telah mengemukakan permohonan agar gelanggang dan padang khas disediakan bagi memudahkan latihan dan penganjuran aktiviti.

“Ada sukan-sukan tertentu yang fasilitinya belum mencukupi. Contohnya, persatuan bola jaring mohon gelanggang tertutup, persatuan hoki minta padang khusus. Permintaan ini wajar diberi perhatian,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa cabaran utama ialah aspek penyelenggaraan kerana terdapat kemudahan yang tidak diselenggara dengan baik sehingga menyukarkan penggunaan optimum oleh komuniti setempat.

Beliau menjelaskan bahawa segala cadangan penambahbaikan perlu dibincangkan secara langsung dengan pemegang taruh seperti persatuan sukan tempatan bagi memastikan setiap kemudahan yang dibina benar-benar memenuhi keperluan pengguna.

Menurut beliau, infrastruktur sukan yang ada kini sememangnya digunakan secara maksimum oleh penduduk Putrajaya, dan usaha meningkatkan kemudahan akan terus diperjuangkan agar anak-anak dan komuniti setempat mendapat manfaat yang lebih besar.

“Apa sahaja yang hendak dibangunkan perlu duduk bersama pemegang taruh. Kita mahu setiap infrastruktur yang disediakan digunakan sepenuhnya oleh warga Putrajaya,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN