KAJANG: Pembelajaran Al-Quran secara bersanad terus diangkat sebagai antara kaedah tradisi paling penting dalam Islam bagi memastikan kesahihan dan ketulenan bacaan kitab suci itu terpelihara seperti yang diturunkan kepada Rasulullah SAW melalui perantaraan malaikat Jibril dan diwarisi dari generasi ke generasi.
Menyedari kepentingan pemeliharaan tradisi ilmu tersebut, Excel Travel dengan kerjasama Yayasan Maghfirah memperkenalkan satu pakej khas yang menggabungkan pengajian Al-Quran bersanad dan pelancongan di Mesir menerusi pakej dinamakan Ahlan Cairo.
Pengurus Besar Excel Travel, Abdul Hafiz A. Rahman berkata, pakej selama 17 hari 15 malam itu memberi peluang kepada peserta memperbaiki bacaan serta mendalami ilmu qiraat bersama guru-guru bertauliah dari Universiti Al-Azhar, khususnya dalam pembetulan surah al-Fatihah, makhraj dan tajwid mengikut manhaj Al-Azhar.
“Seramai 25 orang syeikh yang mempunyai Sanad Qiraat Ali bersetuju menyertai siri pertama program yang dijadualkan berlepas pada Ahad ini, 7 Disember 2025.
“Bagi menjayakan program ini, pihak kami menjalinkan kerjasama strategik bersama Yayasan Maghfirah, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia yang telah lama bertapak di Mesir,” katanya selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Excel Travel dan Yayasan Maghfirah hari ini.
Menurut beliau, penginapan peserta akan ditempatkan di bangunan sembilan tingkat milik Yayasan Maghfirah yang dikenali sebagai Darul Maghfirah, yang baru siap dibaik pulih dengan kemudahan bertaraf hotel dan mampu memuatkan sehingga 40 orang pada satu-satu masa.
Majlis MoU itu turut dihadiri Pengerusi Ahli Pemegang Amanah dan Pengerusi Eksekutif Yayasan Maghfirah, Mohd. Sahrularifin Ab. Manan, Penasihat Agama Excel Travel, PU Akram Ikrami Taib Azzamuddin serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maghfirah, Muhammad Shuib Norudin.
Pada majlis tersebut, pakej Ahlan Cairo dilancarkan pada harga RM16,900 merangkumi program pengajian dan lawatan ke tempat-tempat bersejarah serta menarik di Mesir antaranya Piramid Giza, Alexandria, Fayoum, makam Imam Syafie dan Lukman Hakim.
Sempena pelancaran itu juga, Excel Travel menawarkan potongan harga RM2,000 kepada 20 peserta terawal.
Abdul Hafiz berkata, sebelum berlepas ke Mesir, semua peserta akan melalui proses saringan bagi menilai tahap penguasaan bacaan Al-Quran sebelum diserahkan kepada guru masing-masing.
“Sesi pembelajaran akan berlangsung selama empat hari seminggu manakala Jumaat hingga Ahad diisi dengan lawatan pelancongan.
Peserta yang menamatkan pengajian akan menerima sijil pengesahan sanad sebagai pengiktirafan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan pihaknya menyediakan pakej khas sempena Ramadan bagi memberi peluang umat Islam merasai pengalaman berpuasa dan beribadah di bumi Mesir.
Sementara itu, Mohd. Sahrularifin berkata, Yayasan Maghfirah berbesar hati dapat bekerjasama dengan Excel Travel dalam usaha menghidupkan kembali pengajian Al-Quran bersanad dalam kalangan umat Islam.
Beliau berharap, bangunan Darul Maghfirah akan terus dimanfaatkan sebagai pusat pengajian dan kebajikan khususnya kepada pelajar serta pelawat dari Malaysia.
Maklumat lanjut mengenai pakej Ahlan Cairo boleh diperoleh menerusi laman web rasmi Excel Travel di exceltravel.com.my.










