PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) digesa mengeluarkan Perintah Siasatan (OTI) kepada agensi penguat kuasa bagi mempercepatkan siasatan terhadap kes penipuan program pelaburan matawang Forex sehingga menyebabkan kerugian mencecah RM104 juta.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya yang mewakili 500 mangsa hadir menyerahkan aduan rasmi bagi mendesak tindakan segera diambil terhadap sindiket terbabit ekoran siasatan didakwa tertangguh sejak 2023.
Katanya, mangsa sebelum ini telah membuat laporan polis, termasuk kepada Bank Negara Malaysia (BNM) serta Labuan Financial Services Authority (LFSA), namun dimaklumkan bahawa siasatan sukar diteruskan.
“Tetapi akhirnya mangsa diberitahu bahawa tidak ada kesalahan dapat dibuktikan atau bukti dianggap tidak mencukupi. Ini amat mengecewakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas penyerahan surat permohonan kepada wakil agensi di Bangunan Jabatan Peguam Negara hari ini.
Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, sindiket itu mempromosikan pelaburan melalui risalah, sesi penerangan maya, mesej peribadi serta kelas latihan forex bagi meyakinkan pelabur bahawa mereka beroperasi secara sah.
Katanya, mangsa terdiri daripada pelabur Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura yang terpedaya selepas syarikat tersebut didakwa menawarkan pulangan bulanan antara empat hingga lima peratus, selain menggunakan lesen broker forex dari Indonesia serta lesen perantaraan kewangan di Labuan untuk meyakinkan pelabur.
“Pada awalnya, dividen dibayar seperti dijanjikan untuk memancing lebih ramai pelabur. Tetapi apabila jumlah dana semakin besar, pembayaran dihentikan dan pelbagai alasan diberikan termasuk akaun dibekukan agar pelabur tidak dapat mengeluarkan pelaburan mereka,” katanya.
Tambahnya, MHO berpendapat terdapat penggunaan maklumat palsu, platform dagangan tidak berlesen, jaminan pulangan tetap serta penyamaran sebagai penyedia perkhidmatan kewangan. – UTUSAN










