Adam Lee sihat, cengkung akibat turunkan berat badan untuk Fury Redemption - Sweet Qismina - Utusan Malaysia

Adam Lee sihat, cengkung akibat turunkan berat badan untuk Fury Redemption – Sweet Qismina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Sweet Qismina meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan segelintir warganet yang mengaitkan perubahan fizikal suaminya, Adam Lee, dengan perkara negatif.

Sweet atau Farhanna Qismina Supandi, 28, menjelaskan keadaan Adam yang kelihatan cengkung adalah disebabkan penurunan berat badan sebanyak 12 kilogram sebagai persediaan menyertai kejohanan sukan tempur Fury Redemption.

“Suami saya turun berat daripada 83 kilogram ke 73 kilogram kerana membuat persiapan untuk Fury Redemption. Sekarang beratnya sekitar 71 kilogram.

“Dia nampak kurus dan cengkung sebab menurunkan berat badan melebihi kebiasaan, namun dia sihat.

“Kami sendiri penat melihat usaha dan persiapan mental serta fizikal yang dilakukan untuk pertandingan ini,” tulisnya menerusi hantaran di Threads.

Dalam pada itu, pelakon filem Babah itu turut menasihatkan warga maya agar tidak sewenang-wenangnya membuat tuduhan tanpa mengetahui perkara sebenar.

“Kalau tidak tahu sebab dia kurus, tolonglah buat kajian terlebih dahulu. Jangan suka-suka melemparkan fitnah,” katanya.

Terdahulu, tular beberapa komen warganet yang mengaitkan pelakon berkenaan dengan dakwaan penyalahgunaan dadah sehingga ada yang meminta Adam menjalani ujian air kencing.

Untuk rekod, kejohanan Fury Redemption melibatkan penyertaan 22 petarung dari Malaysia, Indonesia, Nigeria dan Iran, dengan keseluruhan 11 pertarungan dijadualkan berlangsung.

Kejohanan tersebut akan diadakan pada 28 Disember 2025 di Arena Sukan Kuala Lumpur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN