PETALING JAYA: Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abdul Halim dilantik memangku tugas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, berkuat kuasa semalam.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, pelantikan itu telah diputuskan Biro Politik PKR.
“Adam Adli yang juga Timbalan Pengerusi MPN Melaka akan menjalankan tanggungjawab sebagai Pemangku Pengerusi sehingga dimaklumkan kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata beliau, pelantikan itu adalah bagi memangku tugas, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin namun jawatan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri itu sebagai Ketua PKR Cabang Hang Tuah Jaya kekal dan tidak terjejas. – UTUSAN










