5 kisah tragis bintang Bollywood - Utusan Malaysia

5 kisah tragis bintang Bollywood

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNIA seni yang bergemer­lapan dan penuh warna warni sebenarnya tidak menjanjikan yang manis-manis sahaja. Pasti ada kisah gelap kelam yang tersimpan menjadi rahsia.

Bukan lagi sekadar dongengan dan cerita dahulu kala, banyak sebenarnya kisah tragis anak seni yang menjadi bualan dan cerita sensasi dalam kalangan peminat namun tidak diketahui kesahihannya.

Kali ini Pancaindera senaraikan lima kisah kematian tragis penuh tanda tanya bintang Bollywood.

DIVYA BHARTI
Pelakon remaja sensasi 90-an ini sedang berada di puncak kerjaya apabila dia ditemukan mati selepas jatuh dari apartmen tingkat lima pada 1993.

Berusia 19 tahun ketika itu, Divya terkenal melalui filem Shola Aur Shabnam dan Deewana.

Kematiannya diumumkan sebagai kemalangan, namun ramai percaya ada unsur jenayah dan tekanan rumah tangga dalam perkahwinannya yang dirahsiakan. Tragedi itu masih disebut sebagai kematian paling misteri dalam Bollywood.

GURU DUTT
Pengarah dan pelakon legenda, Guru Dutt, terkenal dengan karya klasik seperti Pyaasa dan Kaagaz Ke Phool, menjalani kehidupan yang penuh konflik emosi.

Hubungan rumitnya dengan penyanyi, Geeta Dutt dan pelakon, Waheeda Rehman sering menjadi tajuk besar.

Pada 1964, beliau ditemui mati akibat gabungan alkohol dan pil tidur, dipercayai sebagai bunuh diri. Guru Dutt dikenang sebagai genius yang bergelut dengan depresi, hidup dalam kesunyian walaupun berada di puncak populariti.

SRIDEVI

Kehilangan legenda Bollywood Sridevi pada Februari 2018 mengejutkan seluruh dunia. Dilaporkan meninggal akibat lemas di dalam tab mandi di sebuah hotel di Dubai ketika menghadiri majlis perkahwinan keluarga, kematiannya mencetuskan pelbagai spekulasi.

Sridevi yang popular dengan filem seperti Chandni, English Vinglish dan Mom, hidup sebagai antara bintang wanita terbesar India.

Walaupun keluarganya mengesahkan pemergian bintang itu kemalangan tragis, misteri berkaitan kematian itu terus dibincangkan peminat sehingga hari ini.

JIAH KHAN

Pelakon Ghajini dan Housefull, Jiah Khan ditemui mati pada 2013. Kesnya tular selepas surat yang didakwa ditulis aktres cantik itu menceritakan penderitaan dan penderaan dalam hubungan dengan pelakon, Sooraj Pancholi.

Kes itu bertukar menjadi pertuduhan membunuh, walaupun proses mahkamah berlangsung bertahun-tahun tanpa penutup jelas. Tragedi Jiah membuka mata ramai tentang tekanan emosi wanita dalam industri filem India.

SUSHANT SINGH RAJPUT
Pemergian pelakon Kai Po Che! dan MS Dhoni: The Untold Story, Sushant Singh Rajput, pada 2020 membuka satu era gelap dalam industri.

Kesnya dilaporkan sebagai bunuh diri, tetapi kontroversi terus meleret apabila isu tekanan industri, nepotisme, dan hubungan cintanya dengan Rhea Chakraborty mula dipersoal.

Kes itu disiasat oleh tiga badan berbeza termasuk pihak India Central Bureau of Investigation (CBI). Hingga kini, ramai peminat percaya masih banyak persoalan yang belum terjawab.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN