20 rakyat Malaysia mangsa sindiket penipuan selamat dibawa pulang

20 rakyat Malaysia mangsa sindiket penipuan selamat dibawa pulang

WISMA PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 20 orang warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian di Myawaddy, Myanmar berjaya dibawa pulang ke negara ini semalam.

Pemulangan mereka itu diusahakan oleh Kementerian Luar Negeri, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Kedutaan Besar Malaysia di Yangon yang memudah cara proses itu.

Menurut Kementerian Luar, kumpulan tersebut selamat tiba di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam pada pukul 7.20 malam, semalam dan telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, kesemua rakyat Malaysia berkenaan adalah antara warga asing yang diselamatkan oleh pihak berkuasa Myanmar dalam operasi bersepadu membanteras sindiket penipuan dalam talian di kawasan Myawaddy.

“Melalui koordinasi antara Myanmar, Thailand dan Malaysia, pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok telah ke Myawaddy melalui Jambatan Persahabatan Kedua Maesot-Myawaddy bagi mengesahkan identiti mangsa dan mengambil mereka di bawah jagaan Malaysia.

“Kumpulan tersebut kemudiannya diiringi pulang ke Thailand dengan kerjasama rapat pihak berkuasa Thai di Mae Sot, Wilayah Tak, sebelum dipulangkan ke Malaysia melalui jalan darat,” katanya hari ini.

Wisma Putra berkata, disokong Kedutaan Besar Malaysia di Yangon dan di Bangkok telah menyediakan bantuan konsular secara menyeluruh sepanjang operasi ini.

Katanya, ini termasuk memaklumkan ahli keluarga, mengeluarkan dokumen perjalanan sementara, mengatur pengangkutan, menyediakan keperluan asas seperti makanan dan pelitup muka, serta mengiringi kumpulan tersebut sepanjang perjalanan selama 26 jam dari Mae Sot ke Bukit Kayu Hitam, Kedah.

“Usaha pemulangan ini merupakan kesinambungan kepada operasi-operasi terdahulu oleh Kementerian ini dalam membantu rakyat Malaysia yang terperangkap dalam sindiket penipuan pekerjaan di luar negara.

“Kejayaan misi terbaharu ini adalah hasil kerjasama erat antara Kementerian Dalam Negeri, PDRM, Jabatan Imigresen, kedua-dua Kedutaan Malaysia di Bangkok dan Yangon, serta Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

“Kementerian Luar Negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Thailand dan pihak berkuasa Myanmar atas sokongan dan bantuan dalam memudahcara dan mempercepatkan pemulangan 20 rakyat Malaysia tersebut.

“Kementerian ini akan kekal komited dalam menjaga kebajikan rakyat Malaysia di luar negara dan akan terus menyediakan bantuan konsular melalui misi diplomatik Malaysia kepada semua rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN