19 perkara di bawah MA63 dipersetujui

19 perkara di bawah MA63 dipersetujui

FADILLAH Yusof ketika Program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penyerahan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kepada kerajaan negeri menerusi Majlis Tenaga Sabah merupakan antara 19 perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah dipersetujui setakat ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, namun beberapa perkara lain masih belum diselesaikan kerana membabitkan perbezaan tafsiran undang-undang, termasuk aspek Perlembagaan dan undang-undang negeri yang memerlukan penelitian mendalam.

Beliau akui perkara itu tidak mudah diputuskan, namun kebanyakan perkara sudah pun dapat diselesaikan.

“Biarpun kuasa SESB telah diserahkan kepada Sabah, Kerajaan Persekutuan masih membantu dan menyokong negeri itu dengan peruntukan RM3.54 bilion (bagi subsidi elektrik) sehingga 2030,” katanya pada sesi dialog awam sempena majlis penutup Program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku, di sini semalam.

MA63 adalah pemeteraian dokumen menyatukan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah (Borneo Utara), Sarawak dan Singapura menjadi negara Malaysia.

Sementara itu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkongsi perkembangan Grid Tenaga ASEAN (APG).

Menurutnya, Malaysia menjadikan pembangunan APG itu sebagai antara tumpuan utama ketika mempengerusikan ASEAN iaitu usaha mengukuhkan kerjasama tenaga dan memastikan bekalan elektrik lebih stabil, mampan dan berdaya saing di rantau ini.

“Inisiatif itu penting bagi mewujudkan rangkaian grid serantau yang membolehkan negara-negara ASEAN menjalankan pertukaran tenaga rentas sempadan.

“Ia sekali gus membantu negara yang mengalami kekurangan bekalan pada sesuatu masa.

“Apabila Thailand kekurangan bekalan (tenaga), negara lain boleh membekalkan. Sistem ini memberi fleksibiliti dan meningkatkan keselamatan tenaga di peringkat rantau,” katanya.

Katanya, percubaan awal bagi projek itu kini telah berjalan melalui penyambungan grid melibatkan Projek Integrasi Tenaga (PIP) Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS).

Beliau berkata, langkah seterusnya adalah menghubungkan Pulau Borneo yang mempunyai potensi terbesar tenaga boleh baharu di rantau ini melalui kabel dasar laut ke Semenanjung Malaysia dan seterusnya ke Singapura.

“Langkah selepas itu adalah menghubungkan tenaga boleh baharu di Pulau Borneo ke Filipina,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN