IPOH: Sebanyak 14 daripada 24 bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Perak mendesak Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur demi masa depan parti itu.
Ketua Bahagian Bersatu Pasir Salak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang bertindak sebagai jurucakap kepada bahagian yang terlibat berkata, pengunduran itu boleh menjadi cerminan Muhyiddin sebagai pemimpin yang berjiwa besar dengan mengundurkan diri secara terhormat.
Katanya, permintaan itu dibuat kerana kegagalan Muhyiddin dalam menangani kemelut dalaman yang melanda parti ketika ini.
“Perkara itu boleh diselesaikan dengan baik dan segera jika dikawal di peringkat awal.
“Presiden perlu mengawal perkara ini dengan lebih cermat umpama menarik rambut di dalam tepung. Rambut tidak terputus, tepung tidak berselerak.
“Kegagalan membendung perkara ini daripada awal menyebabkan ia semakin membengkak sekali gus menjejaskan imej Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu khasnya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Zainol berkata, kepimpinan bahagian-bahagian Bersatu di Perak berpandangan bahawa parti perlu melalui proses penyegaran semula termasuk rejuvenasi kepimpinan untuk memastikan Bersatu terus diterima rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Kami yang hadir pada hari ini bukan ahli biasa. Kehadiran pada hari ini adalah kepimpinan utama di bahagian-bahagian Bersatu Perak. Kehadiran hari ini adalah bahagian yang menyumbangkan kerusi DUN dan Parlimen dalam Pilihanraya Umum yang lepas bagi Bersatu dan PN.
“Parti ini perlu diperbaharui dan diremajakan. Jika tidak dilakukan sekarang, kami khuatir PRU16 nanti Bersatu akan ditolak di semua kawasan yang ditandingi,” katanya.
Jelasnya, pimpinan bahagian menghormati Muhyiddin sebagai presiden pengasas parti, namun faktor usia, isu peribadi serta kes mahkamah yang belum selesai dilihat bakal menjadi liabiliti kepada parti dan PN.
“Muhyiddin perlu menggunakan baki beberapa minggu terakhir 2025 untuk bermuhasabah dan meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan lain.
“Tan Sri boleh menjadi pemimpin berjiwa besar dengan berundur secara terhormat. Kami tidak mahu melihat Tan Sri menjadi ‘Najib Razak versi Bersatu’,” katanya yang juga ADUN Sungai Manik. – UTUSAN










