RANTAU PANJANG: Sebanyak 10 lagi binaan pangkalan haram di Sungai Golok di sini yang digunakan untuk tujuan penyeludupan dirobohkan hari ini.
Ia melibatkan pangkalan haram Ibrahim Pencen, Ibrahim Pencen 2, Kak Pah, Tambahan, Kayangan Inn, Jeram Perdah 2, Syed Moer 2, Jitong, Mat Yeh dan Mok Yah.
Jumlah itu menyaksikan 18 pengkalan haram telah robohkan sejak operasi tersebut dijalankan pada 28 Oktober lalu.
Sementara itu, Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, operasi merobohkan pangkalan haram itu berjalan lancar tanpa sebarang provokasi.
Katanya, kerja-kerja perobohan melibatkan kerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara, Pejabat Tanah dan Galian dan Jabatan Kerja Raya.
“Kita (Polis Kelantan) akan meneruskan operasi ini sehingga semua pangkalan haram itu dirobohkan sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Utusan Malaysia 28 November lalu melaporkan, kerja-kerja merobohkan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini, yang menjadi lokasi penyeludupan dilakukan secara berperingkat-peringkat bermula semalam.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pangkalan haram Gergaji dan MCA di sini menjadi perintis kepada kerja-kerja perobohan itu yang dijangka mengambil masa selama dua bulan.-UTUSAN










