Warisan Ngah Ibrahim ungkap sistem pentadbiran moden orang Melayu - Utusan Malaysia

Warisan Ngah Ibrahim ungkap sistem pentadbiran moden orang Melayu

MOHAMAD Zahir Abdul Khalid (dua dari kiri) merasmikan Seminar Memperingati Perjuangan Tengku Menteri Ngah Ibrahim dan Peluncuran Buku Kota Ngah Ibrahim dalam Lipatan Sejarah di Muzium Matang di Taiping. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Bangsa Melayu bukan masyarakat terbelakang sebelum kedatangan penjajah British sebaliknya telah memiliki sistem pentadbiran moden, tersusun dan berfungsi mengikut standard antarabangsa pada zamannya.

Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid menegaskan, rekod sejarah menunjukkan pentadbiran negeri-negeri Melayu, khususnya di Larut dan Perak sudah mempunyai sistem polis, mahkamah, penjara, pelabuhan dan ekonomi yang teratur, jauh lebih awal daripada campur tangan British.

“Kita bukan bangsa yang duduk bawah pokok atau di dalam gua. Kita sudah ada sistem tersendiri, teratur dan moden mengikut keperluan zaman itu. Sebelum British datang, kita sudah menubuhkan pentadbiran, pasukan polis moden, sistem kehakiman dan pelabuhan yang tersusun.

“Tokoh seperti Tengku Menteri Ngah Ibrahim ialah reformis Melayu awal yang setanding dengan Raja Mongkut dan Raja Chulalongkorn di Thailand serta Maharaja Meiji di Jepun dalam membawa agenda pemodenan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Seminar Memperingati Perjuangan Tengku Menteri Ngah Ibrahim dan Peluncuran Buku Kota Ngah Ibrahim dalam Lipatan Sejarah di Muzium Matang di sini hari ini.

Seminar itu diadakan bersempena memperingati dua detik bersejarah iaitu ulang tahun ke-150 pembunuhan Residen British pertama Perak, J.W.W. Birch (1875–2025) dan ulang tahun ke-130 pemergian Tengku Menteri Ngah Ibrahim (1895–2025).

Mohamad Zahir berkata Tengku Menteri Ngah Ibrahim bukan tokoh biasa sebaliknya pentadbirannya menggunakan pendekatan moden, termasuk diplomasi antarabangsa.

Katanya, tokoh tersebut melantik peguam, membawa isu ke London dan menghormati undang-undang antara negara yang membuktikan Melayu bangsa yang berfikir dan bertindak secara teratur.

“Memperingati perjuangan Ngah Ibrahim merupakan manifestasi penghargaan tertinggi terhadap tokoh yang berani mempertahankan hak negeri dan bangsanya.”katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pentingnya penulisan semula sejarah negara berdasarkan sumber sahih dan dokumen yang kini semakin mudah diakses melalui arkib antarabangsa.

“Dulu kita terhad. Banyak dokumen berada di London, Hague, Rusia dan negara lain. Hari ini akses lebih terbuka. Ini masa untuk kita kaji semula supaya naratif sejarah kita berasaskan fakta, bukan rasa,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN