Video ganas pengaruhi tingkah laku murid

Video ganas pengaruhi tingkah laku murid

ALIMUDDIN Mohd Dom ketika bercakap pada forum Rimbun 1.0 Rundingan Meja Bulat Nasional di Menara Dato’ Onn Kuala Lumpur di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ratusan video tidak bermoral berunsurkan keganasan berisiko besar mempengaruhi tingkah laku murid sekiranya tidak disekat dan dikawal oleh ibu bapa.

Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, antara kandungan yang membimbangkan termasuk pelbagai video serta permainan yang mengandungi unsur negatif.

Katanya, ia termasuk video dan klip dalam talian yang berunsur kesedihan melampau, mengandungi unsur lucah serta permainan yang mengajar perbuatan mencuri kenderaan.

“Permainan lain yang memaparkan aksi menembak dan membunuh beratus-ratus watak secara ganas.

“Sebahagian besar daripada ratusan kandungan seumpama ini boleh diakses dengan mudah oleh kanak-kanak, malah ada yang mula menontonnya seawal usia lima tahun.

“Bayangkan, pada usia sekecil itu, otak mereka sedang berkembang. Pendedahan kepada kandungan sebegini boleh menjejaskan perkembangan mental dan emosi anak-anak. Guru tidak mungkin dapat menghalang sepenuhnya tanpa bimbingan serta sekatan daripada ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa forum Reformasi Sistem Pendidikan Pada Zaman Kecerdasan Buatan (AI) dan Pemerkasaan Institusi Guru di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (WTCKL), di sini hari ini.

Alimuddin berkata, faktor genetik sememangnya penting, namun persekitaran turut memainkan peranan besar dalam membentuk sahsiah dan tingkah laku seorang anak.

Kes keganasan dan pembunuhan di sekolah semakin membimbangkan termasuk kes seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun yang didakwa membunuh pelajar perempuan 16 tahun di tandas sekolah menggunakan senjata kerambit.

Pada 1 Oktober lalu, negara dikejutkan dengan kematian seorang murid tahun empat di sebuah sekolah di Senawang, Negeri Sembilan, yang ditemukan tidak sedarkan diri. Punca kematian dikenal pasti sebagai tekanan pada leher.

Kes-kes keganasan di sekolah di negara ini naik mendadak dari 3,883 kes pada 2022, ke 6,528 pada 2023 dan 7,681 pada 2024. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN