KUALA TERENGGANU: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus memperkukuh peranannya sebagai universiti berteraskan nilai sosial dan kelestarian apabila mengumpul dana wakaf, endowmen, infaq serta wakalah zakat berjumlah lebih RM5 juta sepanjang tahun ini.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Fadzli Adam berkata, pencapaian itu membuktikan komitmen pelbagai agensi, institusi kewangan dan rakan industri yang sentiasa mendokong usaha universiti dalam memperkasa ekosistem pendidikan berasaskan nilai serta kesejahteraan komuniti.
“Lonjakan UniSZA bukan hanya diukur melalui kecemerlangan akademik dan penyelidikan, malah turut disokong oleh jaringan kolaborasi strategik yang memberi impak langsung kepada pembangunan wakaf dan endowmen universiti,” katanya pada Majlis Hi-Tea Diraja sempena Konvokesyen Idul Ilmi UniSZA Ke-17 di Taman Tamadun Islam (TTI), hari ini.
Ujarnya, UniSZA turut menerima wakaf khas berupa tanah beserta rumah kediaman di Kampung Gong Pak Jin bernilai kira-kira RM355,000 daripada individu bernama Ismail Muda.
Menurut Fadzli, sumbangan tersebut menjadi simbol komitmen masyarakat terhadap pembangunan ilmu dan kebajikan ummah melalui institusi pendidikan tinggi Islam negara.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor UniSZA.
Baginda turut berkenan menyampaikan replika cek Anugerah Pelajaran Diraja kepada dua penerima iaitu Che Wan Nur Damia Che Wan Roslan dari Fakulti Perniagaan dan Pengurusan serta Koh Wen Xuan dari Fakulti Biosumber dan Industri Makanan.
Turut berangkat Yang di-Pertuan Muda Terengganu dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja.Hadir sama Pro Canselor UniSZA, Tan Sri Mohd. Yusof Mohamed Nor, Tunku Datuk Nooruddin Tunku Datuk Sri Shahabuddin, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee serta barisan pengurusan tertinggi universiti.
Majlis turut menyaksikan pelancaran Coffee Table Book bertajuk Bukit Besi: Menjejaki Heritopolis Besi Asia yang dihasilkan oleh sekumpulan penyelidik diketuai Prof Madya Dr Wan Mohd Yusof Wan Chik dari Institut Penyelidikan Produk & Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE). – UTUSAN










